suria

Amukan usahawan tak lama! Cepat ‘cool’, kembali bermotivasi sehari selepas PBT ‘angkut’ pagar dipasang di kaki lima

MBPG mengambil tindakan terhadap premis dipercayai milik usahawan kosmetik susulan isu yang tular.

MEDIA sosial sejak beberapa hari lalu hangat memperkatakan tentang tindakan seorang usahawan kosmetik memasang pagar di kaki lima kedai hingga menghalang laluan.

Apa yang lebih membangkitkan kemarahan netizen adalah sikap pemiliknya yang didakwa memberi justifikasi secara angkuh berhubung tindakannya memasang pagar berkenaan.

Malah, dia turut mengherdik mana-mana individu yang mengeluarkan komen dan kenyataan berkaitan pagar di hadapan premis miliknya di Pasir Gudang, Johor.

Susulan isu yang tular, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada Selasa mengambil tindakan dengan membuka struktur binaan kekal (pagar) di hadapan kaki lima premis itu kerana ia dibuat tanpa permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penjelasan usahawan komestik berhubung pemasangan pagar di hadapan kedainya.

Beberapa foto yang menyaksikan pasukan penguatkuasa MBPG membuka dan menyita pagar tersebut yang tular di media sosial ternyata menggembirakan banyak pihak.

Sehari selepas PBT mengambil tindakan ke atas premisnya, usahawan kosmetik itu tampil mengeluarkan kenyataan pertama menerusi satu hantaran di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Laju-laju PBT sampai! Rupanya usahawan kosmetik pasang pagar depan kedai tanpa permit, tergamak suruh OKU guna laluan lain

Bukan penjelasan susulan tindakan penguat kuasa mahupun permohonan maaf, sebaliknya dia hanya berkongsi kata-kata membina semangat dan motivasi.

"Jangan biarkan apa yang berlaku semalam menghantui hidup kita hari ini. Bangkit berjuang dan capai impian kita!

"Yang semalam berlalu pergi, hari esok belum pasti untuk kita. Lakukan sesuatu yang bermakna untuk diri, keluarga, sahabat, staf dan bisnes anda hari ini," tulisnya di Facebook.

Hantaran yang dimuat naik sehari selepas MBPG mengambil tindakan terhadap premis.

Dalam hantaran tersebut, dia turut berkongsi petikan kata-kata motivasi daripada pengacara terkenal, Oprah Winfrey.

Pada 22 Januari lalu, wanita berkenaan yang juga mempunyai perniagaan kedai makan berkongsi pengalaman mengenai penglibatannya sebagai usahawan.

Di sebalik tabir kehidupan usahawan yang ramai orang tak tahu, katanya, masyarakat kebiasaannya hanya melihat orang yang berniaga itu mampu hidup senang.

"Yang kita nampak semua yang indah-indah. Asal berniaga je kaya-raya, jutawan. Jalan yang perlu ditempuh, ramai yang tak tahu, tak mahu dan tak sanggup.

"Tiada jalan mudah untuk berjaya dan mencapai kesenangan. Semuanya perlu bermula dari bawah, dari zero... perlu melalui pelbagai proses, perlukan kesabaran dan kecekalan.

"Walaupun terkadang hati rapuh bila ada dugaan melanda, namun sifat usahawan apabila saat terjatuh akan bangkit semula! Jatuh sekali, bangkit sejuta kali! Jalan terus!" katanya.

Usahawan kosmetik itu berkongsi kata-kata motivasi Oprah Winfrey. foto instagram Oprah

Terdahulu, menurut usahawan kosmetik itu, dia memasang pagar tersebut dengan tujuan keselamatan untuk mengelakkan kejadian individu yang tidak bertanggungjawab menaiki motosikal di hadapan kedainya.

Dakwa usahawan itu, wujud insiden penunggang motosikal yang nyaris melanggar pintu premis dan pelanggannya hingga memaksa dia memasang binaan itu.

"Habis hak aku sebagai owner kedai yang terancam keselamatan diri dan harta benda tu macam mana? Tak ada hak?

"Ke aku boleh tuntut hak kerugian aku kat orang yang hanya reti viral dan komen je?" katanya tanpa rasa bersalah.

Komen yang didakwa dikeluarkan oleh usahawan berkenaan.

Selain itu, usahawan kosmetik itu sekali lagi tanpa rasa bersalah memberikan maklum balas yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Salah seorang netizen bertanyakan bagaimana OKU yang berkerusi roda mahu lalu di siar kaki di hadapan kedainya.

"Lalu la jalan lain. Bukan tak ada jalan lain lagi kat sini. Petak parking khas orang cacat pun ada. Kalau kau datang sini ramai je nak tolong dukung kau.

"Datang je sini jangan sibuk semak komen sekali dengan orang yang tak tahu apa-apa," katanya lagi, namun tidak dipastikan sama ada komen tersebut dikeluarkan oleh usahawan itu atau sekadar akaun palsu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain