|
|
PILIHAN RAYA UMUM KE-13
Khamis Jun 21, 2012
Kongsi Kemahiran Buat Roti & Kek Di Australia
Pensyarah Lee Fee Sang (tengah) bersama pelajar Malaysia, Rosalyn Kong (kiri) dan Juana Bahari yang sedang mengambil kursus roti dan pasteri di Kolej TAFE, di Adelaide, Australia. -Foto BERNAMA. ADELAIDE: Semasa Lee Fee Sang meniti usia dewasa di Ipoh, Malaysia, ibunya Leong Chew Ping dan ibu saudaranya seringkali berhimpun di rumah mereka di Ipoh untuk menyediakan pelbagai juadah, termasuk beraneka jenis kek, yang dinikmati semasa majlis perhimpunan keluarga dan rumah terbuka. Tidak hairanlah jika timbul minat terhadap bidang masakan dalam diri Lee yang kemudiannya membawa beliau mengelilingi dunia, belajar daripada chef terkemuka, pembuat roti serta pastri dan seterusnya berkongsi segala pengetahuan dan kemahirannya itu dengan generasi baru pembuat roti. Selepas Lee menamatkan pendidikan di peringkat Malaysian Certificate of Education pada pertengahan 70-an, beliau berlepas ke Britain untuk mempelajari bidang masakan di Blackpool College of Further Education di Lancashire, sungguhpun Britain pada lewat 70-an bukanlah tempat terbaik untuk memupuk atau menikmati sebahagian daripada masakan terbaik yang ditawarkan di Eropah. "Selepas menamatkan pengajian saya di Blackpool, saya bertuah kerana dapat bersua muka dengan legenda pembuat roti dan kek dari Switzerland, Helmut Proff yang ketika itu adalah Pengetua Liverpool College," kata Lee. Helmut memasukkan Lee dalam skim perantisan di Zurich pada awal 80-an yang membuka peluang kepadanya untuk menghadiri beberapa kursus profesional jangka pendek di sebuah daripada sekolah terulung di Lucerne, Switzerland, iaitu Faschule Richemont (Richemont Bakery School). "Tidak perlu diperkatakan lagi, minat saya terhadap pembuatan roti dan kek menjangkaui sempadan Switzerland. Saya banyak mengembara ke seluruh Eropah bersama beberapa rakan pelatih saya dari UK dengan melawat Perancis, Itali, Jerman dan Belgium untuk meninjau pelbagai kedai roti dan produk istimewa di wilayah ini," kata Lee. Sekembalinya ke Malaysia pada awal 80-an, Lee menceburi bidang perhotelan dan pelancongan yang semakin berkembang di negara ini. Beliau bertugas di Hotel Hyatt Kuantan sebagai chef de partie sebelum ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan kumpulan pasaraya Fitzpatrick sebagai pengurus bahagian roti serta kek dan kemudian mewujudkan beberapa kedai roti di bawah nama Bakers Fare (anak syarikat kumpulan Fitzpatrick). Bersama beberapa rakan dalam bidang perniagaan roti dan kek yang telahpun beroperasi di Brisbane, Melbourne, Perth dan Sydney, Australia, Lee berhijrah ke Adelaide pada penghujung 80-an untuk mencari gaya hidup yang lebih santai dan mesra keluarga. Lee mengisi enam bulan pertama di Australia bekerja dengan di Lobethal Bakery di Adelaide Hills. Beliau ketika ini adalah Pengurus Pelajaran bagi Kolej Teknikal dan Pendidikan Lanjutan (TAFE), Australia Selatan serta aktif dalam pendidikan dan pembangunan industri pembuatan roti dan kek di peringkat nasional. -BERNAMA |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||