PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Wanita Nepal Mahu Tawan Tujuh Puncak Di Tujuh Benua

Maya Gurung.

KUALA LUMPUR: Dilahirkan di kawasan berbukit dari Nepal, di kawasan pedalaman Sindhupalchok, Maya Gurung sering mengimpikan untuk mendaki gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest.

Impian beliau akan kekal sebagai angan-angan sekiranya beliau tidak mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah kerana satu perkahwinan yang diaturkan.

“Rumah saya berhampiran dengan wilayah Jugal Himal. Ketika itu saya tersalah anggap ia adalah kawasan untuk ke Everest dan sering berhasrat untuk mendakinya,” kata wanita berusia 32 tahun itu dalam temu ramah di Kedutaan Nepal di sini, Jumaat.

Maya merupakan wanita pertama daripada komunitinya Gurung dan wilayah yang mencapai sampai ke puncak itu pada tahun 2008 di bawah Ekspedisi Pertama Merangkumi Semua Wanita Sagarmatha yang membawa 10 wanita warga Nepal daripada pelbagai latar belakang.

Kehidupan beliau di Sindhupalchok amat sukar, tanpa kemudahan elektrik dan makanan.

“Di tempat saya tinggal bersama ibu bapa dan tiga adik-beradik, hari saya bermula pada pukul 5 pagi. Saya perlu memberi makanan kepada ternakan sebelum berjalan kaki selama satu setengah jam untuk ke sekolah,” katanya.

Maya mengibarkan bendera negaranya sewaktu berada di puncak Gunung Everest pada Mei 2008.

Makanan ruji mereka adalah dsindo, bubur yang diperbuat daripada gadum dan sekoi yang banyak didapati di daerah itu.

Kehidupan beliau bagaimanapun berubah apabila beliau mengambil keputusan untuk melarikan diri daripada sebuah perkahwinan yang diaturkan, sehari sebelum majlis itu berlangsung.

“Saya hanya menaiki bas, tidak tahu ke mana harus pergi. Tetapi polis menjumpai saya dua hari kemudian.”

Bapa beliau kemudiannya memutuskan semua hubungan dengannya dan beliau pergi ke Kathmandu, kira-kira 100 kilometer dari daerah itu.

Maya kemudiannya tamat belajar dan menyertai program asas mendaki gunung selama 45 hari sebelum disenaraikan dalam ekspedisi itu.

“Mendekati alam semula jadi amat menguja, memberi semangat untuk saya melaluinya sepanjang pendakian,” kata beliau.

Pasukan itu pada masa ini dalam misinya yang digelar sebagai Tujuh Puncak, untuk mendaki tujuh gunung di tujuh benua.

“Kami telah mendaki Gunung Kosciuszko di Australia dan Gunung Elbrus di Eropah. Kami merancang untuk mendaki Gunung Kilimanjaro pada tahun depan,” katanya, sambil menambah puncak lain yang dirancang untuk ditawani ialah Gunung Aconcagua di Argentina, Gunung Denali di Amerika Syarikat (AS) dan Gunung Vinson di Massif, Antartika.

Kenangan paling manis Maya adalah selepas ekspedisi Everestnya apabila bapanya datang ke rumahnya untuk berdamai.

Katanya, beliau masih menyayangi bapanya sejak dahulu dan menjadikan apa yang berlaku sebagai hikmah.

“Jika beliau tidak mengaturkan perkahwinan, saya tentu tidak berbuat seperti yang telah dilakukan atau menjadi seperti sekarang,” kata beliau.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel