Header
Utama Berita & Info Resipi Ramadan Bazar Ramadan Tazkirah E-Kad Ucapan Personaliti
Sunday August 12, 2012
Masyarakat Bertanggungjawab Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik - Permaisuri Agong

BAGAN SERAI: Islam meletakkan tanggungjawab kepada semua umatnya yang berkemampuan untuk melakukan amal kebajikan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik, titah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Baginda bertitah pihak yang lemah dan kurang bernasib baik wajib dibantu demi menghubungkan jalinan ukhuwah dalam masyarakat.

"(Amal bajikan) itu memberi jaminan kepada keadaan hidup masyarakat yang memerlukan agar mereka juga dapat merasai kehidupan yang sempurna seperti insan yang lain," titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan dan kurniaan sempena sambutan Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong di sini, Ahad.

Pada majlis itu baginda berkenan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan kepada 129 anak yatim, ibu tunggal (150), warga emas (17), fakir miskin (23) dan OKU (20), yang disalurkan melalui Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH).

Baginda bertitah YAYSH telah ditubuhkan bagi membolehkannya terlibat secara langsung dalam memperjuangkan dan membela nasib insan-insan yang kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim.

"Berkat usaha semua pihak dan kemurahan hati penyumbang-penyumbang, pihak yayasan telah berjaya mengumpul sejumlah dana bagi yayasan ini menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan.

"Semoga dengan bantuan yang diberikan ini, ianya dapat meringankan beban insan-insan yang terlibat terutama di bulan Ramadan Al-Mubarak di samping dapat menampung perbelanjaan untuk menyediakan keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi," titah baginda.

Raja Permaisuri Agong juga berpesan kepada anak-anak yatim supaya belajar bersungguh-sungguh agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

"Ketiadaan ibu bapa bukanlah penghalang untuk kita daripada mengecapi kejayaan. Sebaliknya anak-anak sekalian perlu membuktikan bahawa anak-anak juga mampu untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang seperti juga anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa," titah baginda.

Kepada insan-insan yang kurang bernasib baik, tanamkanlah sifat sabar dan cekal dalam diri masing-masing kerana sesungguhnya sabar itu merupakan akhlak yang mulia dan terpuji di sisi Islam, titah baginda. - BERNAMA

« Kembali
 
 
Waktu Puasa
E-Kad