|
KUALA LUMPUR: Mungkin bubur lambuknya akan menjadi ingatan bagi mereka yang pernah merasai dan menikmati keenakan air tangan beliau.
Seorang pembuat bubur lambuk di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Che Meh Mat Jab, 74, yang menjuarai Pertandingan Memasak Bubur Lambuk sempena Sambutan Hari Belia peringkat negeri Selangor baru-baru ini, telah kembali ke rahmatullah pada 1.25 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Allahyarham dimasukkan ke HKL selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas ketika pulang daripada menyertai pertandingan itu, dan menerima rawatan selama tiga hari.
Menurut anak lelaki arwah, Mustaffa Kamal Che Meh, 38, bapanya mula memasak bubur lambuk kira-kira 15 tahun lepas, dan aktif melakukan aktiviti itu di Masjid Al-Ansar.
"Selain membuat bubur lambuk, ayah turut memasak untuk berbuka puasa, sahur dan qiamullail.
"Ayah juga pernah sebut bubur lambuk yang dia masak, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah makan... Tetapi beliau (Tun Dr Mahathir) hanya menghantar wakilnya untuk ambil bubur lambuk tersebut," katanya.
Sementara itu, seorang jiran, Ramli Mohd Hashim, 60, berkata Allahyarham Che Meh seorang yang baik dan banyak berjasa kepada masyarkat sekitar serta masjid tersebut.
"Ramai yang akan merasai kehilangan beliau dan merindui air tangan serta masakan beliau kerana arwah seorang yang pandai memasak," katanya.
Bekas rakan sekerja Allahyarham sewaktu berkhidmat sebagai tentera, Abdul Jalil Jaafar, 76, berkata Che Meh seorang yang gemar melancong dan suka menabur bakti kepada masyarakat setempat.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hazizah Abdul Manan, 70, dan lima anak iaitu empat perempuan dan seorang lelaki. - BERNAMA
|