Header
Utama Berita & Info Resipi Ramadan Bazar Ramadan Tazkirah E-Kad Ucapan Personaliti
Wednesday August 15, 2012
Hari Raya Istimewa Buat Keluarga Kembar Siam

Kakak sulung pasangan kembar siam itu, Nor Sabrina, 6, menjaga kedua-dua adiknya di rumah mereka.

KEMAMAN: Hampir setahun selepas mereka dilahirkan, pasangan kembar siam, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie akhirnya berada dalam keadaan sihat sepenuhnya untuk meninggalkan hospital bagi meraikan sambutan Hari Raya.

Kedua-dua bayi perempuan berusia 11 bulan itu yang bercantum di bahagian dada dan berkongsi hati dan jantung menjalani rawatan berterusan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak mereka dilahirkan pada 22 September tahun lalu.

Ibu mereka, Noraini Mohamad, 32, dan bapa kepada pasangan itu, Zulkifli Ngah, 41, begitu teruja apabila kedua-duanya dibenarkan balik ke rumah untuk bersama dengan ahli keluarga.

"Kami sentiasa berulang-alik ke Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kerana mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan. Di sebalik kepayahan itu, saya bersyukur kerana mereka dibenarkan balik ke rumah," kata Noraini.

Noraini yang turut mempunyai dua orang lagi anak perempuan berusia enam dan tujuh tahun berkata Hari Raya tahun ini merupakan yang paling istimewa.

"Hari Raya terbaik untuk saya adalah untuk meraikannya bersama kesemua anak perempuan saya," katanya.

Usaha untuk membawa pulang pasangan itu tidak mudah selepas rumah keluarga tersebut sebelum ini yang terletak di Kemaman didapati tidak sesuai untuk didiami kerana keadaan yang sempit dan tidak bersih serta boleh membawa kepada jangkitan bakteria.

Dengan bantuan kerajaan negeri, keluarga itu berpindah ke rumah baru di Bukit Bauk di sini pada Mei yang turut dilengkapi kemudahan moden.

"Pada mulanya, saya kecewa apabila mendapati rumah kami terlalu kecil dan tidak kondusif kepada mereka. Namun kerajaan negeri turut membantu membiayai bil rawatan bayi kami," katanya.

Walaupun pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar itu dianggap terlalu berisiko buat masa ini, Noraini berharap, mereka boleh menjalani kehidupan normal suatu hari nanti.

« Kembali
 
 
Waktu Puasa
E-Kad