Header
Utama Berita & Info Resipi Ramadan Bazar Ramadan Tazkirah E-Kad Ucapan Personaliti
Thursday August 16, 2012
Miliki Tudung Rekaan Eksklusif Pada 1 Syawal

JOHOR BAHARU: Tinggal tiga hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dengan segala persiapan rancak dibuat pada saat-saat akhir ini.

Bagi kaum wanita, mereka mementingkan penampilan yang menarik pada pagi raya.

Segalanya dirancang rapi daripada hujung rambut sehinggalah hujung kaki termasuk baju, tudung serta aksesori.

Dan bagi wanita yang bertudung pastinya jenis-jenis tudung yang terkini menjadi pilihan.

Dalam saat akhir ini kebanyakan wanita mencari butik tudung untuk membuat pilihan dan salah satu tempat yang sering menjadi tumpuan adalah Butik Ariani yang menawarkan pelbagai jenis tudung daripada yang datang dengan 'awning' hinggalah dalam bentuk selendang.

Pengurus Butik Ariani cawangan Johor Baharu Nurul'Ain Mohd Maamur berkata antara tudung yang sering menjadi pilihan adalah Tiara Chiffon, Tiara Ariani, Tiara Special Beaded, Tiara Floral Printed, Tiara Diamond Swarovski, Chiffon Tiara Diamond.

Beliau berkata selain itu, kebanyakan pelanggannya juga menggemari tudung Beaded, Tiara Crepe Silk selain selendang buatan tangan dan Crepe Silk.

TUDUNG CHIFFON MENJADI PILIHAN

Tudung daripada jenis kain chiffon juga menjadi pilihan pelanggan kerana kebanyakkan warna tudung ditawarkan amat menarik dengan tona warna yang berbeza.

"Keunikan tudung yang dijual di butik ini adalah pada batu Swarovski yang menghiasi bahagian 'awning' tudung dan rekaan tudung di butik ini juga adalah terkini serta menepati citarasa pelanggan," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Batu itu, katanya, diimport daripada Turki dan Singapura. Selain batu Swarovski terdapat juga batu berlian yang eksklusif untuk dihiasi pada tudung pelanggan yang juga dibawa dari dua negara berkenaan serta Perancis.

Nurul 'Ain berkata terdapat juga rekaan yang eksklusif dengan jahitan sulaman dan set masterpiece Ariani direka dengan renda bersulam tampal dihiasi jahitan manik dan 'diamond swarovski' yang tulen.

Kebanyakan tudung ini adalah daripada fabrik Lycra manakala untuk 'awning' yang dipanggil bukrum, dijahit mengunakan Thai Silk serta Raw Silk.

REKAAN SENTIASA BERUBAH

Menurutnya, rekaan tudung di Ariani sentiasa terkini dan berubah dari masa masa untuk memastikan pelanggan mempunyai banyak pilihan dan untuk itu butik ini mempunyai pereka fesyen khas sendiri.

"Setakat ini pereka fesyen untuk tudung Ariani berada di dua tempat sahaja iaitu Segamat dan Kuala Lumpur. Mereka ini bertugas menghasilkan rekaan terbaru setiap bulan," katanya.

Menurutnya, rekaan tudung Ariani adalah eksklusif kerana untuk setiap corak rekaan hanya 100 helai yang akan dikeluarkan.Ariani juga menawarkan tudung polos bermanik dan sekuin yang boleh digayakan dengan pelbagai anak tudung yang merupakan rekaan terbaru.

Ia tampak seperti selendang, sesuai untuk wanita yang ingin nampak lebih moden serta bergaya dan ia diperbuat daripada fabrik Viscose kapas yang dihiasi batu Swarovski.

FABRIK BERKUALITI DIGUNAKAN

Menurut Nurul 'Ain, Ariani juga menggunakan fabrik-fabrik berkualiti yang diimport khas dari Itali, Perancis, German serta Turki dan antara jenama antarabangsa yang boleh di dapati di Ariani adalah Valentino, Aker, Armine, Akel, Bonasera, Isadora, Ungaro dan Pierre Cardin.

Kesemua jenis tudung itu mempunyai harganya yang tersendiri mengikut kualiti kain dan jangan terkejut jika harga tudung berkenaan boleh menjangkau sehingga RM600 untuk kain jenis chiffon sutera.

Namun apabila diamati kualiti kainnya, harganya berbaloi kerana tudung jenis chiffon sutera sangat lembut apatah lagi ia ditatahkan pula dengan batu Swarovski yang sangat cantik di bahagian kepala.

Menurutnya, walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi tetapi kualiti tudungnya sangat memuaskan bak kata pepatah menang membeli alah memakai. - BERNAMA

« Kembali
 
 
Waktu Puasa
E-Kad