suria

'Khayal' kisah fantasi Stacy untuk lari dari masalah

Stacy tampil dengan lagu terbaharu berjudul Khayal yang dilancarkan pada Jumaat.

PENYANYI Stacy memberitahu lagu terbaharu berjudul Khayal mengisahkan mengenai cabaran dan kesakitan yang perlu dilalui oleh seseorang dalam menghadapi dunia realiti.

Menurut Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 29, semua orang juga pernah terfikir untuk melarikan diri daripada kehidupan sebenar buat sementara waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pertubuhan jadi persetubuhan saya sebut”- Stacy tersasul, akui bukan mudah baca berita

"Lagu ini saya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah.

Stacy tampil kelainan menerusi lagu Khayal.

"Saya rasa semua orang pun pernah mengalami perkara yang sama, semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi di fikiran sebagai 'escapism' untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan," katanya.

Lagu bergenre pop EDM ini merupakan hasil ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Ziin dilancarkan di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes pada Jumaat.

Manakala senikata 'Khayal' merupakan hasil tulisan Stacy sendiri yang berkarya di bawah nama pena Bunga Cantik.

Tambahnya, lirik lagu itu juga inspirasi daripada dirinya sendiri yang gemar berkhayal dengan kisah fantasi di kala sukar melelapkan mata.

Stacy luah rasa cinta dan sayang terhadap keluarganya menerusi lirik lagu terbaharunya.

Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad ini juga mendedahkan terdapat lirik dalam lagu tersebut ditulis bagi menggambarkan cinta dia terhadap keluarganya.

"Dalam lirik Khayal ini saya ada menulis tentang 'biar cinta sampai ke bulan' yang saya gambarkan betapa besarnya cinta saya kepada keluarga kecil saya dan betapa utuhnya ikatan kami yang akan tetap selalu menjalani kehidupan bersama walau susah atau senang," ujarnya.

Khayal merupakan lirik kedua tulisan Stacy selepas mencuri perhatian sebagai penulis lirik menerusi lagu Rampas yang dipopularkan oleh kumpulan Akim & The Majistret.

Muzik video Khayal boleh ditonton di laman Youtube bermula petang Jumaat.

Stacy, Akim Ahmad

Artikel Lain