|
|
AGAMA
Khamis April 23, 2009
Hukuman jenayah syariah mungkin ditingkatkan
PUTRAJAYA: Hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin akan ditingkatkan, termasuk dari segi hukuman sebat, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata pada ketika ini persepsi umum menganggap hukuman yang dikenakan oleh mahkamah syariah adalah rendah terutama apabila kebanyakan hukuman hanya melibatkan denda. Katanya Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) pula membataskan hukuman yang boleh dikenakan iaitu sebatan tidak melebihi enam kali, denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun. Justeru, katanya Jawatankuasa Teknikal Undangundang Syariah dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti beberapa kajian dan kertas kerja berhubung perkara itu. "(Tindakan kita seterusnya) bergantung kepada cadangancadangan jawatankuasa teknikal itu nanti, kita tunggu mereka punya nasihat (sama ada untuk meningkatkan hukuman)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini. Seminar yang melibatkan lebih 90 peserta dari pelbagai pihak dan agensi termasuk Ketuaketua Hakim Syarie, Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Insitut Kefahaman Islam Malaysia, Ketuaketua Pendakwa Syarie Negeri-negeri dan ketua-ketua Penguatkuasa Agama Negeri-negeri dan wakil dari universiti-universiti tempatan itu diadakan bagi membincangkan isu dan masalah hukuman sebat bagi kesalahan syariah di negara ini. Mengulas mengenai hukuman sebat, Jamil Khir berkata walaupun hukuman tersebut terdapat dalam peruntukan undangundang syariah negara, namun ia jarang dikenakan dan masih menimbulkan persoalan dari segi pelaksanaan. "Seminar ini sebagai permulaan perbincangan bagaimana pelaksanaan yang sewajarnya mengikut hukum syarak sepertimana yang dibenarkan mengikut undangundang Islam. "Sasaran kita apabila masyarakat, atau kalangan ulama, pengamal undang-undang, pihak penjara, polis, mahkamah sivil dan mereka yang berkaitan telah mencapai satu kesepakatan maka baru kita akan laksanakan," katanya. Beliau berkata hasil seminar itu nanti akan turut diteliti jawatankuasa sama dan pengukuhan dalam bidang perundangan itu nanti juga bakal melihat lonjakan dalam penguatkuasaan, dalam usaha membendung jenayah-jenayah syariah di negara ini. BERNAMA |
|
|||||||