|
|
PENDAPAT
Isnin Julai 2, 2012
Perjuangan Syed Syeikh al-Hadi Bukan Sekadar Basahan Bibir Sahaja
Sdr Pengarang, PULAU PINANG memang unik kerana bukan sekadar berada di tengah-tengah jalan perdagangan malahan lebih unik lagi kemunculan pemimpin-pemimpin besar yang lahir dan bertapak di Pulau Pinang. Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Ahmad Rashid Talu dan ratusan lagi para pemimpin dan tokoh lahir dan bertapak di bumi Pulau Pinang. Ini kerana, perjuangan membawa obor perubahan yang berpaksikan idelisma Muhammad Abduh dan Jamal-al Din al Afgani tidak pernah sesubur seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang. Cengkaman sesetengah pihak telah menyebabkan tokoh seperti Syeikh Abdullah Maghribi tercampak keluar dari sebuah negeri hanya kerana menghadiahkan anak muridnya sebuah kitab: Nailul Authar. Semua pihak menyedari hakikat bahawa betapa pentingnya perjuangan Syed Syeikh al Hadi dan signifikannya perjuangan beliau. Ribuan alumni Al-Mashoor yang tersebar seluruh dunia merupakan hasil titik peluh perjuangan beliau. Dari Madrasah al Mashoor yang beliau mantapkan inilah maka lahirnya tokoh seperti Abu Bakar Asy'ari dan Dr Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya mengasaskan syarikat percetakan Jelutong Press yang kemudiannya menerbitkan akhbar al-Imam, al-Ikhwan dan Saudara. Kesemua akhbar ini kemudiannya meniupkan semangat kebebasan dari ikatan pajak penjajah yang merompak tanah air ketika itu. Beliau tidak hanya berdiri setakat itu tetapi terus meniupkan angin perubahan dengan menerbitkan novel-novel yang ketika itu menjadi kontroversi kerana membawa tema “feminism”. Hari ini, selepas 78 tahun beliau pergi, nama beliau masih harum dikenang ramai. Namun keharuman tersebut tidak sekuat mana disebabkan ketiadaan pemimpin yang jujur untuk membela perjuangan beliau. Tidak ada sebarang tanda bahawa beliau telah berjasa pada negeri Pulau Pinang ini. Paling menyayat hati ialah rumah beliau di Jelutong kini tersandar ke tangan orang lain. Sedang dalam masa yang sama tokoh seperti Sun Yat Sen yang hanya berkunjung ke Pulau Pinang buat seketika diangkat seperti telah lahir dan tinggal serta berjasa kepada negeri ini. Mungkin Syed Syeikh al-Hadi menyedari akan hakikat bahawa bangsa akan tidur maka tidak hairanlah apabila beliau menyebut: “Janganlah tertipu daya kamu dengan memandang kemakmuran negeri-negeri kamu dengan bermacam-macam bangunan dan tanaman-tanaman yang berhasil kerana sekeliannya itu telah dipunyai oleh bangsa yang lain daripada bangsa kamu. Maka tiada bagi kamu itu melainkan bagi keadaan sekelian dagang yang baharu datang yang terpaksa sedikit hari lagi kamu memberi air yang kamu hendak minum daripada mereka itu dan membayar sewa jalan yang kamu jalani itu” (Talib Samat. (1992) Syed Syeikh al-Hadi Sasterwan Progresif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka) Kepada para pemimpin politik, sedarlah perjuangan Syed Syeikh al-Hadi bukan sekadar basahan bibir anda sahaja. Buktikan lah! |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||