|
|
SUARA ALTERNATIF
Published: Isnin Mac 12, 2012 MYT 5:18:00 PM
Updated: Isnin Mac 12, 2012 MYT 5:19:45 PM
Pengajaran Dari Satu Pendakian
SAYA tidak ingat bila kali terakhir mendaki. Sejak mula bekerja, waktu untuk saya berekreasi luar kian terbatas. Bagaimanapun minat terhadap aktiviti pendakian tidak pernah surut. Mendaki adalah satu terapi buat saya. Maka saya cuba luangkan masa untuknya. Sasaran saya untuk tahun ini ialah mengulangi semula pendakian Gunung Kinabalu. Tiket untuk ke Sabah telah saya beli pada tahun lalu dan tempahan pendakian telah pun dibuat. Jika pada tahun 2001 saya membuat pendakian dari Timpohon Gate ke Low’s Peak dan turun ke Mesilau, kali ini saya mahu mencuba aktiviti via Ferrata oleh Montain Torq. Sebagai sebahagian persediaan, saya membuat latihan ringan mendaki Bukit Broga di Semenyih bersama isteri dan rakan-rakan. Sebelum ini saya pernah mendaki Bukit Broga. Berdasarkan pengalaman, pendakian Broga adalah sesuai untuk peringkat pengenalan asas pendakian. Ini kerana ia boleh dihabiskan dalam tempoh singkat dan tidak memerlukan persediaan rumit. Pendaki baru yang kesihatannya normal boleh sampai ke puncak Bukit Broga dalam tempoh sekitar satu hingga dua jam pendakian. Ramai orang berkongsi pengalaman mereka mendaki Bukit Broga. Kebanyakannya memuji keindahan pemandangan yang boleh dilihat dari atasnya. Saya fikir itu adalah pengalaman biasa bagi para pendaki tegar. Jadi, biarlah saya menulis tentang perkara lain. Bukit Broga bukanlah milikan sesiapa – atau secara mudahnya ia merupakan tanah di bawah jagaan kerajaan. Cuma laluan ke puncak itu mengkehendaki pendaki melalui ladang kelapa sawit milik persendirian. Maka kutipan parkir yang diambil itu adalah munasabah. Penambahbaikan yang boleh dibuat ialah memastikan sistem parkir itu teratur dan selamat. Saya puji sikap pendaki yang bersedia untuk membayar untuk mendapatkan pengalaman pendakian tersebut. Oleh kerana Bukit Broga adalah milik awam (baca: kerajaan) dan terdapat aktiviti yang dijalankan di sana, saya fikir sesuatu perlu dilakukan untuk kebaikan semua. Melihat Sikap Pendaki Memandangkan kebanyakan pendaki baru dan terdapat juga pendaki lama yang mungkin belum termasuk kategori tegar, saya fikir banyak hal yang perlu dibaiki agar Bukit Broga kekal sebagai lokasi tumpuan aktiviti rekreasi luar yang sihat dan menarik untuk orang ramai. Pertama, seperti yang selalu kita dengar, baca atau nampak, sampah boleh ditemukan dibuang sesuka hati. Ini tidak seharusnya berlaku. Ia bukan sahaja menyakitkan mata memandang tetapi juga tidak sihat untuk alam sekitar malah membahayakan pendaki lain. Sebagai contoh, semasa pertama kali mendaki dulu, saya melihat kulit buah oren yang dibuang di tengah laluan. Sungguh tidak bertanggungjawab! Meskipun ia boleh terlupus, ia boleh menyebabkan pendaki lain jatuh tergelincir. Tidak perlu sampai jatuh terguling, tetapi terkehel kaki pun sudah cukup menjejaskan aktiviti riadah. Tapi saya juga dapat melihat ada pendaki yang baik hati mengutip sampah buangan pendaki lain. Sikap seperti ini harus dicontohi. Vandalisme Kita juga boleh melihat dengan jelas ada contengan di batu atau torehan di pokok – seolah-olah hanya orang yang melakukannya sahaja pernah tiba di sana dan tahu bercinta. Ini satu sikap yang mesti dihentikan. Ia hanya mencacatkan pengalaman rekreasi luar dan menjadi ironi kepada gambaran keindahan alam yang dilihat semasa berada di puncak. Bagi pendaki lain yang mungkin mempunyai lebih pengalaman, mereka menulis di atas kertas, memasukkannya ke dalam botol dan menggantungkannya di puncak yang terakhir. Jika pendaki lain mahu membaca tulisan mereka boleh membuka botol itu dan mengambil kertas yang telah ditulis itu. Ini mungkin cara yang tidak lestari, tetapi ia jauh lebih baik daripada menconteng batu atau menoreh pokok! Saya juga dapat melihat berlakunya konflik pengguna yang agak tinggi. Meskipun ada laluan yang jelas untuk ke puncak, rata-ratanya telah menjadi licin akibat hujan dan juga pijakan oleh ramai pendaki. Lebih malang lagi, pada 3 Mac itu seorang wanita telah terjatuh semasa menuruni puncak pertama, berguling sekitar 20 meter ke bawah, terhenti hanya kerana terlanggar dua pendaki lain dan tunggul yang berada di situ! Saya fikir kaki wanita itu patah, atau sekurang-kurangnya retak. Mujur dua pendaki yang dilanggar itu tidak ikut sama berguling! Mujur juga badannya tidak ditikam oleh tunggul tersebut! Saya tidak pasti bagaimana dia terjatuh. Apa yang boleh difikirkan ialah dia memakai kasut yang sangat tidak sesuai – jenis sarung dan sering dipakai wanita ketika keluar ke pusat membeli belah. Mujur ada pendaki lain yang nampak berpengalaman itu telah menguruskannya turun dan mendapatkan rawatan yang sesuai. Oleh kerana terdapat beberapa laluan untuk ke puncak pertama, eloklah nanti ada yang membuat satu petunjuk laluan naik dan turun supaya konflik di laluan pendakian tidak berlaku sekaligus melancarkan laluan yang ada. Sikap Mendaki Yang Tidak Betul Tetapi kasut bukan satu-satunya masalah. Saya dapat melihat bagaimana pendaki baru dan muda terkinja-kinja menunjukkan kekuatan, kononnya dapat berlari dan tidak ada masalah dengan rentis di sana. Ini mungkin kerana pendaki lain umumnya juga muda dan baru serta kelihatan tidak biasa dengan aktiviti pendakian jadi bolehlah mereka berasa megah dengan sikap terkinja itu. Sikap ini juga boleh membahayakan orang lain. Dengan kepadatan pendaki di sepanjang laluan puncak pertama ke puncak akhir, sikap terkinja itu tidak diperlukan. Saya percaya kemalangan di tempat rekreasi luar, khususnya di Bukit Broga bukanlah tidak pernah ada pada waktu lain. Memang sifat risiko itu tidak boleh dihapuskan tapi ia boleh diuruskan. Sebagai pengguna, sumber dan khidmat rekreasi yang ada, kita mesti meletakkan cita-cita untuk menjadikan tempat rekreasi di Malaysia sebagai tempat rekreasi terbaik di mana pengalamannya menambah nilai kepada kualiti hidup bersama. Broga hanyalah satu contoh kecil dan pengalaman saya ke sana hanyalah bahagian yang lebih kecil daripada itu. Tidak mesti segala-galanya perlu dilakukan oleh kerajaan. Sebagai pengguna sumber dan khidmat rekreasi, kitalah yang mempunyai tanggungjawab yang besar meningkatkan kualiti aktiviti masa lapang bersama dan yakinlah kita boleh melakukannya! Dalam erti kata yang lain, jika setiap seorang daripada kita melaksanakan tanggungjawab sosial kita sewaktu beriadah, alam dan dunia rekreasi kita akan menjadi lebih terpelihara dan terpulihara. AMIN AHMAD, 30, ialah Felo di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS). Beliau pernah berkhidmat sebagai presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Perhutanan (PERMAI HUTAN) dan ketua fasilitator Pertandingan Kem Alam Sekitar Kebangsaan 2007. |
SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES
|
|||||||