ANKARA: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu membuat satu pengumuman yang mengejutkan negara itu dengan berkata yang beliau akan berundur jika partinya tewas pada pilihan raya tempatan hujung bulan ini. Parti pimpinan Erdogan memerintah Turki sejak 2002. "Saya telah bersedia untuk berundur jika kami tewas pada pilihan raya kerajaan tempatan 30 Mac ini," ujarnya. Erdogan kini berhadapan dengan dakwaan rasuah dan korupsi selepas satu pita rakaman (yang masih tidak dapat disahkan keasliannya) yang kononnya merakamkan perbualan dengan anaknya tersebar dan menjadi buah mulut rakyat. Dalam rakaman itu, Erdogan kedengaran berbual dengan anaknya Bilal bagaimanakah mereka harus menyembunyikan sejumlah wang yang besar pada 17 Disember lalu. Erdogan menafikan wujudnya perbualan itu dan mendakwa ia adalah satu usaha jahat untuk menjatuhkannya.