DAVAO: Sembilan anggota keselamatan Filipina dan dua anggota gerakan Komunis Filipina terbunuh dalam pertempuran pada Isnin dekat sini. Dalam kejadian itu, dilaporkan 50 gerila New People's Army (NPA) telah mengepung anggota polis yang bertugas di sebuah balai di Matanao sebuah pekan kecil di Pulau Mindanao pada awal pagi, kata jurucakap tentera, Kapten William Rodriguez. "Mereka muncul di pekan ini menaiki bas mini dan juga trak...kesemuanya 50 anggota gerila dan tiga puluh minit kemudian mereka mula menyerang," katanya. Dua anggota polis terbunuh manakala tiga lagi tercedera dalam serangan di balai polis itu manakala dari kumpulan pengganas itu, dua telah berjaya ditembak mati, jelas Rodriguez. Pada masa yang sama, tujuh anggota tentera dan tujuh lagi tercedera dalam satu lagi pertempuran lebih kurang lima jam kemudian selepas mereka cuba mengejar kumpulan pengganas ini. Kata Rodriguez, kumpulan pengganas ini berjaya mencuri 10 senjata api daripada balai polis yang diserang itu. Pekan Matanao, terletak di tanah tinggi dan didiami 52,000 penduduk dan terletak 1,000 kilometer (621 batu) di selatan ibu negara Manila. Secara keseluruhannya, adalah dianggarkan lebih 100 gerila terlibat dalam serangan yang dirancang itu. Sembilan anggota gerila NPA kemudiannya berjaya diberkas selepas gerakan besar-besaran dilakukan untuk mengesan mereka. Ancaman komunis di Filipina telah mengorbankan 30,000 nyawa sejak 1969 dalam usaha mereka untuk menobatkan Regim Maoist. Kini pihak berkuasa menganggarkan yang gerakan gerila komunis masih mempunyai kekuatan anggota seramai 4,000 orang lagi berbanding 26,000 anggota pada 1980-an. Kerajaan cuba beberapa kali untuk duduk berunding dengan gerila komunis ini tetapi gagal dengan percubaan terakhir dilakukan pada April tahun lalu.