suria

Angkasawan Rusia & Amerika Kembali Ke Bumi

Dari depan kosmonaut Rusia, Oleg Kotov (tengah), Komander ISS angkasawan Nasa, Mike Hopkins (kiri) dan kosmonaut Rusia, Sergey Ryazanskiy. Di belakang pula dari kiri kosmonaut Rusia, Mikhail Tyurin, angkasawan Jepun, Koichi Wakata dan angkasawan Nasa, Rick Mastracchio di dalam Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mengorbit bumi.

MOSCOW:  Dua kosmonaut Rusia dan seorang astronaut Amerika pada Selasa selamat kembali ke bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selepas lebih setengah tahun di sana.

Kesemua mereka telah selamat mendarat di Kazakhstan.

Kosmonaut Rusia,  Oleg Kotov dan Sergei Ryazansky bersama-sama rakan mereka dari Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa)  Mike Hopkins mendarat menggunakan kapsul kapal angkasa Soyuz. 

Walaupun misi kembali ke bumi telah tertangguh beberapa kali kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan lebih-lebih angin kencang dan salji telah menjejaskan keselamatan di kawasan yang dikhaskan untuk mendarat tetapi kesemua mereka dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan kesihatan yang baik.

Kotov, salah seorang kosmonaut yang paling berpengalaman mempunyai rekod berada selama 526 hari di angkasa lepas dan pernah tiga kali terlibat dalam misi ke angkasa iaitu pada 2007, 2009 dan 2010.

Manakala ini adalah pengembaraan ke angkasa lepas yang pertama buat Ryazansky dan Hopkins .

Ketiga-tiga mereka telah terlebih dahulumenjalani  pemeriksaan kesihatan sebaik sahaja dibawa keluar dari kapsul Soyuz sebelum dibawa dengan helikopter ke bandar Karaganda.

Kapsul Soyuz itu mula meninggalkan ISS menjelang tengah malam Isnin, meninggalkan angkasawan Jepun, Koichi Wakata di stesen berkenaan selaku komander baru bersama-sama angkawasan Amerika, Rick Mastracchio dan seorang lagi rakan mereka dari Rusia, Mikhail Tyurin.

Wakata kini mencatat sejarah sebagai angkawasan Jepun yang pertama mengetuai misi di ISS.

Kapsul Soyuz itu mendarat tidak ubah sepertimana manusia pertama ke angkasa lepas, Yuri Gagarin lakukan pada 1961, dengan paracut terbuka dari muncung kapsul itu bagi membantunya mendarat ke bumi dengan perlahan dan selamat selepas berjaya melepasi atmosfera bumi. 

Selepas Nasa menamatkan program kapal angkasa ulang-alik mereka, Rusia kini menjadi satu-satunya negara yang masih meneruskan pengangkutan manusia ke ruang angkasa lepas khususnya ISS.

Misi ke ISS yang seterusnya akan melibatkan angkawasan  Nasa, Steve Swanson dan dua kosmonaut Rusia, Alexander Skvortsov dan Oleg Artemyev pada 25 Mac ini dari stesen kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.


ISS, Nasa, Kapsul Soyuz, Rusia, Amerika, Jepun

Artikel Lain