suria

Parlimen Crimea Isytihar Keluar Dari Ukraine

SIMFEROPOL (Ukraine): Anggota-anggota parlimen Crimea yang pro-Moscow pada Selasa telah mengundi untuk merdeka dari Ukraine sekaligus membuka laluan kepada mereka kembali ke pangkuan Rusia, negara asal mereka.

Semenanjung Crimea sehingga tahun 1953 adalah sebahagian dari Rusia. 

Bagaimanapun pada tahun 1954, semenanjung itu telah dihadiahkan kepada Ukraine sebagai menghargai negara itu untuk menjadi sebahagian dari Kesatuan Soviet.

Apabila Kesatuan Soviet tumbang pada 1991, Ukraine telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka dan Rusia tidak membantah asalkan pangkalan angkatan laut mereka dibenarkan beroperasi di semenanjung Crimea.

Namun begitu, apabila kerajaan pusat Ukraine yang pro-Moscow ditumbangkan oleh kumpulan yang pro-Barat beberapa minggu lalu, majoriti penduduk semenanjung Crimea yang berasal dari Rusia telah membantah dan khuatir mereka akan menjadi mangsa opresi etnik Ukraine yang berhaluan kanan.

Pada Selasa, parlimen Crimea yang sebelum ini berfungsi sebagai satu unit autonomi dalam Ukraine telah bersidang dengan 78 daripada 81 anggotanya mengundi untuk keluar dari Ukraine dengan mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri dengan nama baru 'Republic of Crimea' dengan Sevastopo sebagai ibu negara yang baru.

Sejak dua minggu yang lalu, kumpulan militia yang dipercayai dari etnik Rusia telah mengambil alih boleh dikatakan kesemua bangunan kerajaan, lapangan terbang dan juga bangunan parlimen di semenanjung Crimea dengan sokongan tentera Rusia walaupun kerajaan Rusia menafikan sebarang penglibatan mereka di dalam eksesais tersebut.

Sejak itu kerajaan pusat Ukraine tidak mampu berbuat apa-apa melainkan melaung bantuan dan campur tangan antarabangsa. 


Artikel Berikut

Artikel Lain