JIKA dahulu ada pepatah berbunyi: "Kerana mulut badan binasa", kini di zaman teknologi maklumat yang membolehkan pelbagai informasi beredar dengan pantas menimbulkan ungkapan baru, seperti "Terlajak tweet buruk padahnya." Baru-baru ini, ketika persaingan merebut jawatan Presiden Indonesia berlangsung ramai selebriti Indonesia mempamerkan keyakinan masing-masing kepada calon kegemaran mereka. Disebabkan keyakinan itu, mereka membuat pelbagai ikrar dan janji. Ketua kumpulan Dewa19 yang terkenal sering mencetuskan kontroversi, Ahmad Dhani, misalnya berjanji memotong kemaluan jika Joko Widodo (Jokowi) dapat mengatasi calon pilihannya, Prabowo Subianto. Namun beberapa hari lalu ketika keputusan menunjukkan memang Jokowi memenangi pemilihan itu, Ahmad Dhani tampil menafikan dia pernah membuat janji berkenaan. Anak perempuan Raja Dangdut Rhoma Irama, Debby Rhoma pula berjanji untuk berhijrah ke negara lain selepas kecewa bapanya tidak dicalonkan mencabar Jokowi. Melalui akaun Facebooknya, Debby menulis: “Jika Joko Widodo terpilih menjadi presiden 2014 maka saya bertekad untuk PINDAH NEGARA.” Pemilik akaun Sherlyn Rudianz dan Mitta Pecintadamai pula berjanji untuk berlari di tempat terbuka tanpa berpakaian. Bukan itu sahaja, beberapa komen menerusi laman sosial yang begitu keterlaluan turut diberi sebagai tanda sokongan terhadap calon pilihan masing-masing. Jika ada yang rela berlari keliling Jakarta tanpa berpakaian, ada pemilik akaun yang berikrar mahu menamatkan hidupnya dengan cara yang begitu tragis. Lebih mengejutkan apabila, rakyat republik itu sedia memperjudikan akidah dalam persaingan Prabowo - Jokowi apabila menyatakan kesediaan murtad jika Prabowo tewas.