suria

Gencatan Senjata Israel-Hamas Dilanjut 24 Jam Lagi

Peta menunjukkan wilayah Gaza yang dilanda konflik akibat peperangan di antara Hamas yang menguasai wilayah itu dengan pihak berkuasa Israel.

JERUSALEM: Para wakil Israel dan Palestin pada lewat malam Isnin telah bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata mereka kepada 24 jam lagi bagi memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak mencari jalan penyelesaian terbaik kepada konflik Gaza yang telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa sejak sebulan yang lalu.

Tempoh aman lima hari sebelum ini telah berakhir pada jam 9 malam Isnin waktu tempatan.

Portal berita The New York Times melaporkan, kedua-dua belah pihak masih gagal untuk bersetuju atas satu dasar keselamatan yang sama tetapi pada masa yang sama juga tidak mempunyai 'selera' untuk terus bertempur bagi tempoh yang berpanjangan.

Azzam al-Ahmed, ketua delegasi rundingan damai Hamas di Kaherah dalam satu kenyataan menegaskan yang tempoh rundingan sepatutnya tamat pada Selasa, tetapi delegasi Israel masih tidak dapat memberikan kata putus yang sekaligus menghalang sebarang progres mengambil tempat.

“Kami cuma berharap dalam tempoh 24 jam lagi, satu persetujuan akan dapat dicapai atau kitaran pertempuran dan konflik akan bersambung," ujarnya.

Kerajaan Israel pula mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa gencatan senjata akan dilanjutkan untuk tempoh 24 jam lagi atas permintaan Mesir yang bertindak sebagai orang tengah bagi membolehkan mereka kembali ke meja rundingan.

Pegawai-pegawai Israel menurut portal berita tersebut enggan memberikan butir-butir terperinci hasil rundingan berkenaan.

Desakan utama Hamas dalam rundingan tersebut ialah Israel mesti menarik balik sekatan ekonomi ke atas wilayah pantai Gaza yang selama ini telah menjejaskan pergerakan warga Palestin dan juga menghalang kemasukan barangan pengguna menjadi satu penghalang besar.

Ini kerana pihak Israel khuatir, membuka pintu kepada aktiviti perdagangan bebas sama seperti membuka pintu kepada penyeludupan senjata dari wilayah luar ke Gaza dan mengancam keselamatan mereka.

Hamas juga mahukan sebuah pelabuhan dan lapangan terbang dibina di Gaza tanpa halangan Israel dan ini juga adalah satu permintaan yang berat untuk dibenarkan.

Israel pula memberi syarat yang pergerakan Hamas mestilah terlebih dahulu dibubarkan sepenuhnya termasuk perletakan senjata sayap gerilanya.

Kedua-dua belah pihak setakat ini belum bersedia untuk memenuhi apa jua permintaan masing-masing.

Konflik terbaru di Gaza telah menyaksikan 2,016 warga Palestin terkorban akibat serangan Israel manakala 64 askar Israel dan tiga warga awam mereka terkorban terkena 3,300 serangan roket dan mortar Hamas.

“Konsesi kepada syarat-syarat pelan damai ini datang bersama-sama kos politik yang berisiko tinggi untuk kedua-dua belah pihak tetapi pada masa yang sama, konflik ini juga membawa bencana dan ketidakstabilan yang berpanjangan kepada mereka,” kata Ghassan Khatib, naib presiden Universiti Birzeit di Tebing Barat.

Ghassan agak skeptikal sama ada pelan perdamaian jangka panjang dapat dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak kerana Perdana  Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak berada dalam posisi untuk memberi konsesi kepada Hamas memperolehi pengiktirafan politik yang selama ini dilihat dan dianggap sebagai satu pergerakan pengganas oleh Israel.

The New York Times turut memetik bekas timbalan pengarah Majlis Keselamatan Israel, Shaul Shay sebagai berkata, tuntutan jangka panjang memerlukan perbincangan dan rundingan yang berpanjangan.

"Ia tidak boleh dicapai hanya dalam masa beberapa jam atau hari," katanya.

Tetapi pada masa yang sama, tegasnya, terdapat beratus ribu mangsa di Gaza yang memerlukan bantuan segera dan situasi serta keperluan mereka tidak selari dengan keperluan serta tuntutan rundingan jangka panjang.

Katanya lagi, mereka memerlukan bantuan segera yang hanya boleh dicapai dalam situasi yang aman dan damai bukan dalam situasi konflik sepertimana sekarang.

Dalam pada itu, Kordinator Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Timur Tengah, Robert Serry, memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Isnin bahawa kemusnahan di Gaza tersangatlah teruk sehinggakan ia memerlukan pembinaan semula secara besar-besaran.

Hamas sahaja tidak memadai untuk membangunkan semula wilayah yang musnah itu tanpa bantuan Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai oleh Mahmud Abbas dan juga penglibatan sektor swasta, ujarnya.

Tambah beliau, ini hanya dapat dilakukan dengan menamatkan sekatan ekonomi ke atas Gaza.

PBB katanya, bersedia untuk bertindak sebagai kordinator pergerakan bantuan ke atas pembinaan semula wilayah yang musnah akibat serangan balas Israel jika itulah yang menjadi kebimbangan mereka.

Israel selama ini menuduh, Hamas menggunakan bahan binaan yang dibenarkan masuk ke Gaza untuk membina terowong rahsia sehingga menembusi wilayah Israel untuk melancarkan serangan ke atas kepentingan mereka dan juga ke atas askar mereka.

“Gaza memerlukan rumah, hospital dan sekolah, bukan roket, terowong atau konflik,” ujar Serry.

Wilayah Palestin yang terbahagi dua iaitu Gaza dan Tebing Barat dikuasai oleh dua pihak yang berbeza iaitu Hamas di Gaza dan Pergerakan Fatah di Tebing Barat. Presiden Mahmud Abbas mewakili Fatah.

Kedua-dua belah pihak berbalah sejak tujuh tahun yang lalu tetapi baru-baru ini mencapai persetujuan untuk berdamai.

Artikel Lain