suria

Pengasas WikiLeaks Assange Tak Akan Tinggalkan Kedutaan Tanpa Jaminan

Julian Assange

SYDNEY: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange tidak akan meninggalkan Kedutaan Ecuador di London di mana dia sedang memperolehi perlindungan sekarang selagi dia tidak diberi jaminan tidak akan diekstradiksi ke Amerika Syarikat, demikian kata peguamnya pada Selasa.

Warga Australia itu, yang sudah dua tahun mendapat perlindungan politik di kedutaan berkenaan telah memberi indikasi pada Isnin yang dia berkemungkinan akan meninggalkan bangunan kedutaan Ecuador itu tidak lama lagi ekoran laporan yang menyebut dia kini sedang sengsara akibat sakit jantung dan lain-lain penyakit.

Peguamnya, Jennifer Robinson bagaimanapun dalam satu temuramah dengan Australian Broadcasting Corporation (ABC) menegaskan yang anak guamnya itu hanya bersedia untuk meninggalkan kompaun berkenaan setelah dia mendapat jaminan tidak akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk berhadapan dengan pelbagai dakwaan salah laku.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang jaminan berhubung permintaan tersebut," ujarnya lagi.

Assange memperolehi suaka politik di kedutaan tersebut pada Jun 2012 untuk mengelak daripada dihantar ke Sweden untuk berhadapan dengan dakwaan gangguan seksual dan juga percubaan merogol yang dinafikannya.

Dia khuatir, ekstradiksi ke Sweden akan membuka laluan untuk dia kemudiannya dibawa ke Amerika Syarikat pula untuk berhadapan dengan dakwaan WikiLeaks telah mendedahkan pelbagai dokumen rahsia berkaitan kegiatan pengintipan tentera Amerika ke atas musuh-musuhnya dan juga pendedahan berhubung dokumen diplomatik yang telah menjejaskan kepercayaan sekutu-sekutu Amerika ke atas negara itu.

Robinson menambah, situasi di dalam Kedutaan Ecuador tidak lagi kondusif untuk Assange menjalani rawatan perubatan yang diperlukannya buat masa ini.

Artikel Lain