NEW YORK: Usaha untuk menjatuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara demokrasi dan bantahan nampaknya seolah-olah sudah berakhir. Kini kumpulan anti-Trump kelihatan terdesak dan beralih kepada cara konservatif untuk menggulingkan pemimpin AS itu apabila sanggup bersepakat dengan ahli sihir dari seluruh dunia untuk menyihir ahli perniagaan tersebut. Menurut portal Metro.uk, sejak minggu lalu, satu dokumen yang mengandungi maklumat tentang cara untuk mengenakan sihir ke atas Trump tersebar laman web ahli sihir. Malah mereka yang tidak pernah mengamalkan ilmu hitan itu juga dikatakan boleh menggunakan sihir berkenaan terhadap Trump. Menurut dokumen itu, semua ahli sihir di seluruh dunia perlu membaca mantera tersebut pada tengah malam 24 Februari, 26 Mac, 24 April dan 23 Jun sehingga Trump melepaskan jawatan tersebut. Tarikh itu dipilih atas faktor bulan separa dan waktu berkenaan dikatakan sesuai untuk melaksanakan ilmu hitam. Dokumen tersebut juga menyenaraikan barang-barang yang diperlukan untuk melaksanakan sihir tersebut termasuk gambar Trump, paku kecil, lilin putih dan beberapa barangan lain. Selain itu, mantera untuk menyumpah Trump juga disediakan melibatkan pemujaan beberapa elemen penting seperti tanah, air, api dan udara. Pihak yang menyediakan dokumen itu tidak dapat dipastikan dan ramai pihak menganggap perkara tersebut sebagai satu gurauan.