suria

Kebebasan Media AS Telah 'Mati'

HANYA media terpilih sahaja dibenarkan membuat liputan sidang media Setiausaha akhbar Donald Trump, Sean Spicer di Washinghton pada 24 Februari 2017. - REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran White House pada Jumaat melarang beberapa organisasi media Amerika Syarikat (AS) termasuk agensi yang dikritik Pre­siden Donald Trump daripada menghadiri sidang media yang diadakan oleh setiausaha akhbarnya, Sean Spicer.

Antara wartawan yang dinafikan hak mereka untuk membuat liputan adalah daripada agensi CNN, The New York Times, Politico, The Los Angeles Times dan Buzzfeed.

Spicer bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beberapa agensi media itu dilarang daripada membuat liputan, satu langkah yang mengundang kritikan hebat organisasi media.

Agensi berita Reuters merupakan antara organisasi media yang dibenarkan membuat liputan itu bersama 10 buah agensi lain termasuk Bloom­berg dan CBS.

Trump sering membidas media dalam setiap program yang dihadirinya termasuk dalam satu perhimpunan aktivis konservatif semalam yang menyaksikan Pre­siden itu mengkritik agensi berita yang didakwanya melaporkan berita palsu selain menyifatkan mereka sebagai musuh rakyat AS.

Wartawan Associated Press dan majalah Time kemudian keluar meninggalkan sidang media itu selepas mendengar beberapa media lain dilarang membuat liputan tersebut.

“Larangan seperti ini tidak pernah berlaku di White House dalam sejarah kami membuat liputan pelbagai pentadbiran daripada parti yang berbeza,” kata pengarang eksekutif The New York Times, Dean Banquet.

Persatuan Koresponden White House turut mengecam pengendalian sidang akhbar yang dibuat kali ini.

Sementara itu, Presiden Trump dilaporkan mengkritik Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana gagal menghalang kebocoran maklumat keselamatan kepada media.

“FBI secara keseluruhannya gagal menghentikan perbuatan membocorkan maklumat keselamatan yang berlaku dalam kerajaan sejak sekian lama.

“Malah, mereka gagal me­nemukan dalang yang membocorkan maklumat itu dalam agensi itu sendiri,” kata Trump menerusi satu kenyataan dalam akaun Twitter beliau. – REUTERS/DPA

Artikel Berikut

Artikel Lain