TULAR di Twitter gambar sepasang pengantin dari Indonesia yang bersanding di atas pelamin namun pengantin lelakinya hanya mengenakan seluar pendek. Bukan itu sahaja, ia turut memperlihatkan pengantin lelaki tersebut mengenakan anduh pada sebelah tangannya, selain kelihatan beberapa balutan pada bahagian lengan dan kaki. Sementara itu pengantin perempuan pula lengkap mengenakan persalinan tradisional masyarakat Jawa. Foto pasangan pengantin tersebut yang dimuat naik menerusi akaun Twitter @br0wski yang menjadi viral sekaligus mengundang tanda tanya ramai, apa sebenarnya yang dialami pengantin lelaki tersebut. Menurut laporan Kompas.com, pengantin lelaki itu terlibat dalam kemalangan empat hari sebelum majlis perkahwinannya. "Suami saya Suprapto terlibat dalam kemalangan ketika dia keluar membeli petrol. Dia tiba-tiba hilang kawalan lalu dia jatuh dari motosikal," jelas pengantin perempuan, Elinda Dwi Kristiani. Menurutnya lagi, suaminya tidak dapat mengenakan persalinan perkahwinan kerana baharu menjalani pembedahan bahu. - India.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!