suria

“Kalau boleh, saya nak beri 5kg kepada dia” - Influencer minta bantuan, dah makan banyak berat badan tak pernah lebih 40kg

Xiaoye didakwa tidak pernah mempunyai berat melebihi 40kg.

SEORANG influencer kecantikan dengan berat badan 35kg dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan terpaksa mendapatkan nasihat di media sosial dalam usahanya menambah berat bagi untuk terus bekerja.

Video memaparkan wanita itu, dipanggil Xiaoye, dari wilayah Hunan di tengah China, menunjukkan dia makan dengan kerap sepanjang hari hingga ke petang bersama suara latar salah seorang rakannya menjadi tular hujung minggu lalu, lapor Star Video.

Xiaoye didakwa tidak pernah mempunyai berat melebihi 40kg dan akibatnya, dia berdepan banyak masalah kesihatan termasuk hipoglisemia dan lemah sistem imunisasi.

Menurut rakannya, Xiaoye terdesak untuk menambah berat badan selepas majikannya berkata dia terlalu kurus untuk kerjanya sebagai blogger kecantikan.

"Dia makan sekurang-kurangnya lima atau enam hidangan utama setiap hari," kata rakannya.

Dalam video tular itu, Xiaoye dilihat sedang makan mi, daging, dan makanan ringan termasuk kerepek kentang serta biskut yang diletakkan di dalam laci.

Jelas rakannya, makanan itu disimpan dekat untuk memastikan dia mempunyai sesuatu untuk dimakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

makan1

Xiaoye (kanan) bersama rakannya.

Video itu kemudian menunjukkan dia yang sedang memakai pyjamas tertidur di atas katil ketika makan roti.

"Perutnya dah buncit, dan dia muntah apabila melihat gula-gula," katanya lagi.

Selepas beberapa hari makan berlebihan, Xiaoye memijak penimbang dan mendapati beratnya hanya meningkat kepada 36.7kg.

Rakannya menambah, amalan pemakanan seperti itu mengganggu Xiaoye kerana dia sering mengalami cirit-birit dan selalu berasa sangat sejuk serta tidak selesa.

Dalam keadaan terdesak, Xiaoye dan rakannya meminta nasihat dan pandangan warganet.

"Xiaoye tak mahu kelihatan seperti rangka manusia di hadapan kamera, jadi saya mahu membantunya dengan mendapatkan nasihat tentang cara yang betul untuk dia menambah berat badan," katanya.

makan2

Video tular Xiaoye mendapat hampir 10 juta tontonan.

Doktor keluarga dari Hong Kong, Amy Wang memberi amaran bahawa Xiaoye mungkin mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental sehingga mempunyai berat badan yang rendah dan makan berlebihan adalah cara tidak sihat dan berbahaya.

"Pertama sekali, kita perlu mengenal pasti sama ada gadis itu mempunyai sebarang masalah perubatan asas. Sebagai contoh, masalah tiroid juga boleh menyebabkan penurunan berat badan.

"Jika dia tidak mempunyai penyakit dan sihat selama ini, tidak ada sebab untuk dia makan secara berlebihan.

"Makan secara berlebihan, terutamanya makanan ringan berminyak akan memberi kesan kepada kesihatannya. Dia bukan sahaja tidak akan menambah berat badan secara sihat, tetapi mungkin mengalami isu kesihatan lain seperti hipertensi, hiperlipidemia, diabetes dan kardiovaskular.

"Saya cadangkan dia mendapatkan bantuan doktor untuk menjalani penilaian kesihatan formal dan menambah berat badan secara sihat di bawah bimbingan pakar pemakanan atau pakar diet profesional," tambah Wang.

Kisah Xiaoye telah menarik perhatian netizen di media sosial tanah besar dan sehingga kini video tularnya mendapat hampir 10 juta tontonan.

Seorang netizen meninggalkan komen: "Kalau boleh, saya nak beri 5kg kepada dia."

"Oh, malangnya! Makan terlalu banyak akan menyebabkan dia sakit."

"Tak cantik dan tak sihat kalau terlalu kurus.

"Apabila melihatnya, saya berasa gembira menjadi gemuk," demikian beberapa komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain