suria

Kenangan Manis Murugiah Bermain Kabaddi

KUALA LUMPUR: Senator T.Murugiah adalah peminat acara kabbadi, sukan tradisional India yang bukan sahaja membantu beliau untuk membina badan malahan menyalur pengajaran baik dalam kehidupan.

Anak kepada penoreh getah ini yang telah maju dengan baik dalam hidup dan kini memperjuangkan nasib politiknya berkongsi pengalamannya dengan Bernama mengenai penglibatan beliau dalam permainan ini sebagai 'budak estet'.

Pengalaman yang diceritakan oleh ahli politik yang berazam tinggi ini akan sukan yang memerlukan kemahiran dan kuasa mirip kepada kisah sebuah filem Tamil baru-baru ini "Venilla Kabbadi Kulu" yang mana sekumpulan pemain kabbadi dari sebuah kampung pedalaman menempuh pelbagai dugaan sebelum berjaya.

Walaupun tidak lagi bermain kabbadi, beliau masih menghargai kenangan silam bermain atau mengatur perlawanan kabbadi.

PERMAINAN YANG MUDAH

Murugiah, 46, yang dilahirkan di Temerloh Estate, Bukit Gantang, Taiping mula bermain kabaddi semasa belajar di sekolah rendah Tamil di estet yang sama.

"Kabaddi pada masa itu hanya membabitkan budak lelaki dan pemain bermain di atas gelanggang tanah. Para pemain hanya memakai seluar pendek dan lazimnya menanggalkan baju. Ia permainan yang bercirikan habuk dan peluh dengan kesemua pemain berkaki ayam. Kami tidak serius dengan peraturan dan bermain untuk berseronok sahaja dan bukan untuk menang".

"Ia lebih demi kemeriahan dan aksi. Kami hanya mahu berseronok dan tidak kisah siapa yang menang."

Beliau berkata pemain kabaddi di estet itu sebagai golongan cergas khasnya apabila mereka terpaksa berjalan kaki 2km setiap hari dari rumah ke sekolah.

Semasa belajar di sekolah menengah, yang mana Murugiah serta rakan-rakannya terpaksa berbasikal lebih kurang 20 km ke Sekolah Menengah Tat Beng di Sg.Nyior, Taiping, beliau mula menceburi permainan itu dengan serius.

"Berbasikal 40 km setiap hari menjadikan kami lebih kuat dan pasukan kabbadi estet kami hebat. Kami menewaskan banyak pasukan popular pada masa itu," jelas Murugiah.

KABADI ACARA MERIAH DI ESTET

Hujung minggu dan cuti umum adalah masa bagi permainan kabaddi dengan pasukan dari luar datang ke Temerloh Estate. Berpuluh-puluh basikal usang milik pemain dan peminat boleh dilihat dekat gelanggang perlawanan.

Memandangkan permainan ini meletihkan daripada segi fizikal dan mental, para pemain cepat letih dan perlu minum banyak. Tetapi ini bukan mudah seperti pada hari ini.

"Semasa itu air daripada pili disediakan dalam baldi yang kebiasaannya diperbuat daripada logam. Cawan atau gelas bukan mudah diperoleh dan jikapun ada ia biasanya tidak mencukupi dan pemain perlu berkongsi. Bukan seperti sekarang di mana pemain mendapat air botol yang bersih disusun dengan kemas dalam kotak."

"Saya juga ada kalanya membuat sirap ros. Rakan-rakan akan memecahkan blok air batu menggunakan tukul dan memasukannya dalam air sirap.

Ada kalanya, beberapa pekerja estet akan membantu memetik kelapa untuk dijadikan minuman bagi pemain. Setiap pasukan akan menerima beberapa biji dan pemain akan berkongsi kelapa itu. Beliau masih ingat bagaimana pemain minum terus dari kelapa hinggakan air kelapa tumpah di muka dan badan.

Murugiah juga masih ingat yang ayahnya Thopasamy juga meminati kabaddi dan banyak kali telah membantu beliau mengatur perlawanan, termasuk menyediakan kelapa untuk pemain.

"Lazimnya permainan kabbadi ini akan berterusan sehingga petang dan apabila tamat pemilik basikal-basikal usang ini akan meninggalkan estet. Kami selepas itu akan menunggu kedatangan cuti sekolah atau awam berikutnya untuk bermain kabaddi," kata Murugiah bekas ketua pemuda PPP.

"Perlawanan berakhir tetapi keseronokan berterusan. Ada yang akan terjun ke dalam anak sungai berdekatan untuk menyejukkan badan. Ada juga yang akan bermain kabaddi dalam air dan mencetuskan keadaan riuh. Banyak aktiviti berlaku dalam air, ada kalanya pemain senior membuli yang lebih muda. Ia begitu seronok."

SELAMAT TINGGAL KABADI ESTET

Selepas menamatkan tingkatan tiga pada 1979, Murugiah menyertai pasukan polis dan pembabitan beliau dalam kabbadi mula berkurangan. Bagaimanapun, peranan Murugiah dan rakan-rakan sebayanya di Temerloh Estate diambil alih oleh barisan remaja berikutnya.

Pembabitan beliau dalam permainan ini bukan sahaja membantu meningkatkan daya tahan fizikal yang banyak membantu semasa beliau menyertai pasukan polis tetapi juga membolehkan beliau menjalin persahabatan di dalam dan luar estet itu.

Bagi Murugiah, kabbadi lebih daripada permainan. Ia mengenai kecekalan dan peluang interaksi dengan mereka yang lain, dua ciri berguna yang banyak membantu dalam kerjaya politik beliau. Murugiah yang berasal dari keluarga sederhana meningkat maju dalam hidup sehingga menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Hari ini, beliau gembira kerana sukan yang diminatinya itu menjadi acara di semua negeri dan disenaraikan sebagai acara pertandingan pada Sukma 2010 - terima kasih kepada Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya sangat gembira kerana sukan Kabaddi, yang dikenali sebagai 'sadukudu' semasa zaman sekolah rendah saya kini menarik minat pelbagai kaum dan negara," katanya.

Oleh kerana sukan ini dekat di hatinya, Murugiah berbesar hati merasmikan Kejohanan Kabaddi Piala Presiden yang berlangsung di sini pada Februari lepas. Kabaddi membawa seribu kenangan manis bagi Murugiah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain