suria

Tangani Panik Dan Ketakutan Ketika Dalam Bahaya

KUALA LUMPUR: Panik dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?

Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.

Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.

Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.

Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.

Tindakan pemuda itu, yang tidak melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketika berhadapan dengan suasana genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan nyawa.

"Namun ramai yang tersilap langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness di Wangsa Maju baru-baru ini.

MENANGANI PANIK

Walau sehebat mana ilmu pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan takut dan panik.

Lagipun lawan mereka itu mungkin lebih hebat lagi.

Perasaan panik dan takut adalah tindak balas lumrah pada manusia. Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan semangat untuk melawan.

"Ketika semangat dan tenaga untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.

Saiful berkata, langkah paling mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni pertahanan diri.

Nampak mudah, namun jika tidak dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.

"Kena buat latihan pernafasan dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.

"Jeritan itu juga mungkin boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan diri," katanya.

Namun, teknik ini tidak boleh dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus mengikut keadaan dan persekitaran.

"Jika penjenayah mengacu senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas dengan mencederakan atau membunuh mangsa.

"Jadi pertimbangan akal dan pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.

BERTINDAK CEPAT

Jika sebelum ini anda berfikir, jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda pasti tersilap kerana sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.

Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada.

Tindakan pantas perlu diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Saiful berkata, kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskan diri apabila terancam dalam tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah.

Kebiasaannya, pada lima saat pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas apa yang berlaku.

"Jangan biarkan diri terus dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.

"Dalam tempoh kurang 20 saat itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Saiful juga merujuk kepada trend membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.

Sekiranya penjenayah bertindak agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki, tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.

"Jika berhadapan dengan ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan beberapa teknik mudah yang boleh digunakan.

LELAKI MANGSA TERTINGGI PENJENAYAH?

Mengikut statistik lebih ramai lelaki menjadi mangsa jenayah.

Kenapa lelaki sedangkan keadaan fizikal dan kudrat mereka lebih hebat daripada wanita?

Saiful berkata, ini berlaku kerana lelaki sering mengambil mudah soal keselamatan diri kerana sifat ego dan beranggapan mereka mampu mempertahan diri.

"Mereka juga beranggapan mencegah jenayah hanya untuk wanita dan kanak-kanak selain mereka mampu melawan dengan kekuatan yang mereka ada.

"Selain itu majoriti lelaki, kononnya anggap mereka mempunyai kemampuan atau sudah biasa bergaduh dan bertumbuk," katanya.

Dalam situasi bahaya seperti itu, lelaki lebih mudah membuat provokasi atau cepat melenting sedangkan wanita pula memberi reaksi sebaliknya di mana mereka lebih banyak menangis dan merayu untuk dilepaskan.

"Apa yang lebih penting adalah melakukan pencegahan awal daripada menjadi mangsa penjenayah. Selain itu harus mempelajari cara-cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan diri," katanya yang turut menubuhkan kelab KickStart yang menawarkan program latihan intensif untuk mengkaji, mengelak atau bertindak apabila berada dalam keadaan bahaya.

TINGKAT PENGETAHUAN

Sementara itu, Choi Kwang Ho, Naib Presiden Jualan Celebrity Fitness Malaysia, berkata usaha yang dilakukan dengan mengadakan bengkel pencegahan jenayah bertujuan memberi pengetahuan dan petua berguna kepada anggota kelabnya cara menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi bahaya.

Beliau berkata, Celebrity Fitness juga menyediakan latihan yang boleh digunakan sebagai langkah menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi jenayah melalui kelas Body Combat.

"Melalui teknik yang diajar oleh Master Siful dengan apa yang dipraktikkan dalam Body Combat, diharapkan membantu ahli-ahli Celebrity Fitness dalam langkah pencegahan dan persediaan mereka ketika berhadapan situasi bahaya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain