suria

Waris Mahu Guna Duit Sumbangan Untuk Kenduri Tahlil

KUALA LUMPUR: "Aiman suka bersedekah. Dia suka belanja kawan-kawan makan sampai kadang-kadang sanggup tidak makan kerana mahu belanja kawan," kata Hasnah Ismail, nenek kepada seorang mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, Mohd Aiman Abdullah.

Hasnah, 56, berkata Aiman, 10, yang tinggal dengannya sejak kecil merupakan cucu yang baik selain suka bergurau.

Beliau berkata cucunya itu sangat suka belajar di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Hidayah Al-Taqwa itu sehinggakan apabila pulang ke rumah, arwah tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke madrasah terbabit.

"Selalunya dia tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke rumah anak-anak yatim ini sampai kadang-kadang pun tak boleh tidur malam," katanya yang menetap di Pantai Dalam, Bangsar.

Hasnah ditemui pada majlis penyampaian sumbangan RM10,000 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor dan kerajaan negeri Selangor yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin di lokasi tanah runtuh itu di Hulu Langat, Isnin.

"Kali terakhir nenek jumpa Aiman 23 Mac lepas. Tapi sekarang nenek tak boleh jumpa dia lagi, nenek rindu sangat dengan Aiman," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemu bual wartawan.

Menurutnya sumbangan diterima hari ini akan digunakan untuk kenduri tahlil selain bercadang menunaikan ibadat haji untuk Aiman.

Norliayah Mohd Raus, 42, pula berkata kelakuan anaknya Norahimi Rosli, 14, semakin positif selepas memasuki madrasah itu.

"Dia masuk ke madrasah ini tahun lepas, dulu perangainya nakal tetapi bila dia dah masuk ke tempat ini perangainya semakin baik dan boleh mendengar kata," katanya.

Norliayah berkata sumbangan RM5,000 daripada MAIS dan Lembaga Zakat Selangor akan digunakan untuk kenduri tahlil anaknya.

Mohd Aiman dan Norahimi antara 16 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Abdul Rashid Abdul Wahab berkata polis akan menutup bilik gerakannya di lokasi kejadian selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

"Jalan juga akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa lawatan Perdana Menteri bagi melancarkan perjalanan keluar masuk PM ke lokasi kejadian," katanya.

Tinjauan Bernama di sini pula mendapati pihak polis masih berkawal di sekitar kawasan kejadian.

Keadaan kawasan kejadian juga lengang dan tidak lagi menjadi tumpuan penduduk seperti pada hari kejadian dan hanya ada pihak media yang membuat liputan serta kumpulan pasukan penyelamat mengawasi persekitaran.- BERNAMA

Artikel Lain