suria

Analisis: Perwakilan Harus Fokus Bahas Ucapan

KUALA LUMPUR: Seperti biasa, Perhimpunan Agung Umno pada setiap tahun akan menyaksikan kehebatan perwakilan untuk berpidato pada sesi perbahasan.

Lebih-lebih lagi perhimpunan kali ini yang boleh dikatakan bukan perhimpunan biasa apabila presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan perwakilan bahawa ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Seharusnya Perhimpunan Agung Umno 2011 ini dimanfaatkan sebagai gelanggang untuk menjana idea-idea dan mengupas ucapan presiden parti yang menyuntik semangat untuk menghadapi pilihan raya umum.

Perwakilan dari Umno Bahagian Sik, Datuk Md Jali Lateh berkata, kebanyakan ucapan golongan veteran Umno masih berkisar menghentam pembangkang dan tidak memberi idea bagaimana hendak "mengubati penyakit" dalam Umno peringkat bahagian.

Beliau berkata, sedangkan kebanyakan kepimpinan Umno di peringkat bahagian di seluruh negara sedang mengalami pergolakan dalaman dengan terdapat di antara mereka yang tidak lagi dikehendaki oleh anggota parti di akar umbi.

"Keadaan ini sangat berbahaya untuk kita menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Sulaiman pula berkata, perwakilan sepatutnya membulatkan fokus terhadap ucapan presiden dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi isyarat bahawa pilihan raya umum adalah terlalu hampir.

"Mereka boleh menghentam pembangkang tetapi dalam ucapan mereka juga sepatutnya memberi idea untuk kukuhkan parti bagi membolehkan Barisan Nasional menang dengan selesa," kata beliau lagi.

Menurutnya, para perwakilan harus berhujah mengenai tiga perkara penting iaitu pertamanya perpaduan dalam parti, keduanya bagaimana persiapan untuk bekerja luar daripada kebiasaan dan ketiganya kesanggupan untuk berkorban demi parti.

Beliau berkata, perwakilan seharusnya memahami maksud presiden parti meminta semua anggota parti menjadi "orang parti" dan bukan sekadar menjadi anggota parti sahaja.

Bagaimanapun, bagi golongan muda, ucapan perbahasan mereka boleh dipuji kerana dipenuhi dengan iltizam untuk memperbaiki parti dan memberi cadangan kepada kerajaan untuk membuat perubahan tertentu.

Sebagai contohnya, wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Mohamad Azam Wan Rosdy dalam ucapannya menggesa barisan kepimpinan tertinggi Umno mengubah minda dengan memahami kehendak golongan muda tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, golongan itu mempunyai semangat juang yang tinggi dan sanggup berbuat apa sahaja tidak kira apa pun yang menanti di hadapan mereka.

"Tak kira sarang tebuan atau apa, walau ayah kata jangan panjat, kita panjat juga. Bila dah jatuh, dah sakit, baru tengadah. Tapi kalau tak jatuh, tak tahu, tak kenal dan tak cinta. Kami dalam proses mengenali parti, bimbinglah kami," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau kagum dengan kematangan generasi muda berbahas yang telah mengutarakan pandangan ikhlas demi kemajuan negara.

"Saya melihat banyak penyelidikan dilakukan dan saya amat berbangga, khususnya pelapis-pelapis kita, terutamanya anak muda, sama ada dari Kelab Umno Luar Negara mahupun dari Puteri.

"Pandangan yang mereka utarakan sebenarnya dengan niat dan hati yang amat mulia, ingin melihat negara kita ini maju dan boleh dihuni oleh semua bangsa," katanya.

Perhimpunan itu akan berakhir Sabtu petang dengan perbahasan usul-usul pendidikan dan sosial sebelum ucapan penggulungan, antaranya oleh presiden dan timbalan presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain