KUALA LUMPUR: Istilah 'winnable candidate' atau 'calon boleh menang' menjadi topik perbualan hangat di kalangan perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung Umno 2011 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.Rata-rata berpendapat faktor calon memang menjadi satu daripada penyumbang kemenangan tetapi pada masa sama faktor taat dan setia serta tidak mengkhianati parti turut memainkan peranan besar bagi menentukan kemenangan calon Umno dan Barisan Nasional (BN). Perwakilan Kelantan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz yakin pada dasarnya perwakilan faham dengan apa yang dimaksudkan 'calon boleh menang' tetapi masih sangsi mampukah semua pihak memberi "taat setia tanpa berbelah bahagi" kepada keputusan pucuk pimpinan.Adakah pemimpin yang merasakan mereka juga adalah 'calon boleh menang' boleh melakukan pengorbanan dengan mengetepikan kepentingan diri dan desakan penyokong, apabila pucuk pimpinan membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka nanti."Pengorbanan daripada segi wang, tenaga dan masa mungkin mudah dilakukan tetapi sanggupkah mereka melakukan pengorbanan perasaan. Inilah pucuk pimpinan sebutkan agar sebagai penyokong dan pejuang Umno mereka perlu membuat pengorbanan perasaan tersebut (rela hati tidak dipilih menjadi calon)," kata Mohd Rosdi yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Tumpat.Beliau berkata, ramai di kalangan pemimpin Umno berkaliber dan berupaya untuk menjadi wakil rakyat tetapi hakikatnya, hanya seorang sahaja yang akan dipilih sebagai calon bagi sesuatu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).Dalam konteks ini, wakil dari Melaka, Datuk Ahmad Hamzah berkata, calon boleh menang ialah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan yang disenangi pengundi dan boleh membawa mesej rakyat kepada kerajaan."Calon itu juga mempunyai sifat yang boleh memujuk orang yang dipimpinnya (anggota parti) apabila berlaku sesuatu isu besar, dia boleh menyelesaikannya walaupun ada di kalangan mereka membantah. Suaranya didengari dan dihormati," katanya lagi.Ahmad menambah, kalangan pemimpin sedia ada mestilah bersifat terbuka dan menerima keputusan pucuk pimpinan mengenai calon yang dipilih serta berupaya memujuk penyokongnya agar tidak membantah keputusan dan terus bekerja untuk kemenangan calon yang dipilih.Seorang lagi perwakilan berkata sebaik sahaja pilihan raya diumumkan, tiada seorang pemimpin pun berhak mendakwa kerusi yang disandangnya itu adalah miliknya.Terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang boleh menang untuk bertanding," kata Datuk Ghazale Mohamad dari Bahagian Jasin.Kedua-dua perwakilan itu juga bersependapat bahawa satu penerangan perlu diberikan di peringkat cawangan dan bahagian bagi mengingatkan para anggota parti tentang mesej taat dan setia serta tidak mengkhianati parti yang diperkatakan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.Dalam pada itu pemerhati politik, Wan Zamzuri Wan Hasenan dalam tulisan pada laman blognya berpendapat faktor calon boleh menyebabkan parti menjadi lemah sekiranya ada pihak tidak menyokong keputusan parti.Menurutnya kajian menunjukkan faktor calon memang menyumbang kepada kemenangan tetapi faktor kestabilan atau permasalahan dalaman turut menjadi penyebab kemenangan atau kekalahan.Beliau percaya, ramai di kalangan 3.2 juta anggota Umno di seluruh negara sebenarnya tidak faham atau masih kabur dengan konsep calon boleh menang.Bagi memahami konsep calon boleh menang, anggota Umno mungkin boleh melihat kembali kepada pemilihan calon BN oleh pucuk pimpinan pada pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah yang diadakan serentak pada 4 November tahun lepas serta DUN Merlimau di Melaka pada 6 Mac 2011.Calon berkenaan mungkin boleh menjadi antara contoh yang dimaksudkan dengan konsep calon boleh menang.Pada ketiga-tiga pilihan raya kecil itu, calon BN, Abdul Aziz Yusoff di Galas, Datin Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi) dan Roslan Ahmad (Merlimau) meraih kemenangan dengan majoriti besar yang dilihat pemerhati politik ada kaitan dengan faktor calon yang diterima bukan sahaja anggota parti malah pengundi di kawasan masing-masing.Pemerhati politik melihat kemenangan ketiga-tiga calon BN itu antara lain adalah atas faktor mereka boleh diterima oleh anggota parti dan pengundi kerana mereka sememangnya popular dalam masyarakat.