suria

Wartawan Tamil Namban Maut Dalam Kemalangan

KULIM: Seorang wartawan akhbar Malaysia Nanban di sini, terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tunku Putra di Kampung Simpang Tiga di sini malam Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Supritendan Chin Soo Song berkata kejadian berlaku semasa M.S.Maniam, 48, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Senangin, Kilang Lama di sini pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Beliau berkata motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Kilang Lama ketika membelok ke Taman Nenas, menyebabkan Maniam terpelanting dan jatuh di atas jalan raya.

"Wartawan itu mati di tempat kejadian, mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, Ahad.

Penyelaras Barisan Nasional kawasan Dewan Undangan Negeri Kulim, Chuah Heng Teng, serta beberapa orang anggota jawatankuasa MCA, MIC Bahagian Kulim/Bandar Baharu dan rakan wartawan di sini turut menziarahi mayat mendiang di rumahnya, pagi ini.

Menurut isteri Maniam, A. Devagi, 43, suaminya bertugas dengan Malaysia Nanban lebih 15 tahun dan pernah menjadi pemberita sambilan dengan akhbar tempatan selama beberapa tahun. - BERNAMA

Artikel Lain