suria

Konsert Tidak Sesuai Lagi Diadakan Di Stadium Negara & Stadium Merdeka

Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak dapat lagi menampung kedatangan manusia secara berduyun-duyun pada satu masa yang serentak. Gambar menunjukkan penonton yang ramai di konsert Jonas Brothers
Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak dapat lagi menampung kedatangan manusia secara berduyun-duyun pada satu masa yang serentak. Gambar menunjukkan penonton yang ramai di konsert Jonas Brothers
Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak dapat lagi menampung kedatangan manusia secara berduyun-duyun pada satu masa yang serentak. Gambar menunjukkan penonton yang ramai di konsert Jonas Brothers

SEHINGGA ke saat ini, penulis masih tidak faham mengapakah konsert masih diadakan di Stadium Negara dan Stadium Merdeka.

Ini kerana kedua-dua buah stadium itu tidak lagi sesuai untuk diadakan konsert apatah lagi sebuah konsert bertaraf antarabangsa.

Faktor paling utama ialah kerana kedua-dua stadium tersebut terletak di tengah-tengah ibu kota yang tidak dapat lagi menampung kedatangan manusia secara berduyun-duyun pada satu masa yang serentak.

Dua puluh atau 30 tahun yang lalu mungkin. Tetapi sekarang ia hanya mengundang kesesakan lalu lintas yang sangat teruk dan dahsyat.

Penulis merasai sendiri akan pengalaman ini ketika berlangsungnya konsert Jonas Brothers di Stadium Negara dan yang terbaru konsert J.Lo di Stadium Merdeka Ahad lalu.

Yang paling menakjubkan, tidak ada polis trafik yang mengawal dan membantu melancarkan pergerakan lalu lintas menuju ke stadium berkenaan.

Polis hanya ada di laluan berhampiran menuju ke stadium sekadar untuk membantu pergerakan kenderaan-kenderaan vip yang masuk ke kawasan stadium.

Ini menyebabkan seseorang pengguna lalu lintas sama ada yang hendak ke stadium berkenaan mahupun yang hendak menuju ke destinasi peribadi masing-masing tersangkut selama berjam-jam di kawasan sekitar stadium berkenaan dek kerana konsert tersebut.

Faktor kedua yang juga merupakan faktor utama mengapa konsert tidak lagi sesuai diadakan di kedua-dua stadium itu ialah kerana tidak ada kemudahan meletakkan kenderaan di situ.

Tidak sepertimana Stadium Nasional Bukit Jalil, tempat meletakkan kenderaan di Stadium Negara ketika berlangsungnya konsert Jonas Brothers boleh dikatakan tiada langsung.

Semua kenderaan awam diletakkan di bahu jalan sekitar stadium berkenaan sekaligus mencetuskan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk.

Di Stadium Merdeka, masih terdapat tempat meletak kenderaan tetapi sepertimana yang berlaku pada konsert J.Lo Ahad lalu, ia hanya disediakan untuk kenderaan-kenderaan yang memiliki pelekat VIP sahaja.

Pembeli tiket yang tidak mengetahui yang mereka tidak boleh membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan hadapan stadium berkenaan telah berduyun-duyun menuju ke arah Stadium Merdeka dari sama ada Jalan Loke Yew, Jalan Stadium, Jalan Petaling dan Jalan Pasar.

Tidak ada polis yang berada di kawasan jalan-jalan ini dan orang ramai tidak tahu yang jalan menuju ke stadium ditutup sehinggalah mereka merapati Jalan Stadium dan akhirnya mendapati jalan tersebut hanya dibuka untuk kenderaan VIP sahaja.

Akibatnya kesesakan yang berjela-jela panjang dan kenderaan yang telah memasuki laluan-laluan menuju ke arah stadium berkenaan terperangkap dalam kesesakan yang berjam-jam lamanya.

Bayangkan dari jam 7 malam kenderaan tidak bergerak sehingga jam 8.45 malam di bulatan berhampiran Jalan Tun HS Lee menuju ke Stadium Merdeka.

Tidak cukup dengan rasa kecewa dan meradang, bayangkan bagaimana perasaan penonton yang membayar harga tiket sebanyak RM500 kemudiannya mendapati mereka di tempatkan di atas padang yang sudah semestinya tidak berbumbung di bawah limpahan hujan lebat.

Kesemua mereka habis basah kuyup ditimpa hujan yang berderu-deru turun sepanjang konsert itu berlangsung. Nasib baiklah kemudian pihak penganjur mengedarkan baju hujan kepada penonton.

Tetapi itu tidak sedikit pun mengurangkan rasa kecewa penonton. Ada yang merungut mereka membayar harga yang tinggi bukan untuk seronok menonton konsert tetapi untuk dibasahi hujan lebat.

Malah J.Lo sendiri basah kuyup ditimpa hujan kerana bahagian hadapan pentas pertunjukkan tidak dapat diselamatkan daripada terkena tempias hujan lebat pada malam itu.

Kepada promoter dan hos konsert, sukalah penulis nasihatkan, jika hendak mengadakan konsert di musim tengkujuh ni Stadium Merdeka bukanlah tempat yang sesuai.

Harus dicari stadium tertutup sepenuhnya. Isunya bukan mereka tidak tahu di Malaysia bulan November dan Disember adalah musim hujan tetapi kenapa Stadium Merdeka juga yang menjadi pilihan.

Tidakkah mereka prihatin langsung dengan penonton yang membayar harga tiket yang begitu mahal hanya untuk dibasahi hujan dan berdiri di atas padang yang begitu becak macam dalam sawah?

Begitu banyak masa yang ada untuk merancang sebuah konsert antarabangsa seperti ini dan begitu banyak tempat dan pilihan alternatif yang ada di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang tetapi mengapa akhirnya Stadium Merdeka juga yang menjadi pilihan untuk sebuah konsert sebesar ini.

Tidak bolehkah pihak penganjur berfikir dengan waras dan rasional yang Stadium Merdeka tidak sesuai untuk konsert seperti ini apatah lagi pada musim tengkujuh sekarang yang saban malam, hujan pasti akan turun.

Tidakkah ini merupakan satu penganiayaan kepada para peminat J.Lo dan juga kepada penonton-penonton lain yang membayar harga tiket yang begitu tinggi tetapi sekadar mendapat layanan seperti di tepi jalan?

Penulis berharap insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang dan penulis juga berharap pihak penganjur yang mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda daripada orang ramai dapat memikirkan hak dan kebajikan mereka yang mengeluarkan wang saku untuk membeli tiket.

Kepada pihak berkuasa tempatan dan juga polis yang mengeluarkan permit, penulis merayu agar segala hujah yang penulis kemukakan di atas dapat diambil kira dalam meluluskan tempat mengadakan konsert pada masa akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain