suria

Perompak Larikan RM3.3 Juta Dalam Van Keselamatan

KUALA SELANGOR: Sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai berjumlah RM3.3 juta dirampas oleh sekumpulan perompak di sebuah stesen minyak berhampiran Ijok, Batang Berjuntai di sini.

Sebelum melarikan wang yang dirampas, kumpulan perompak itu membakar van tersebut yang dipandu dan ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit.

Dipercayai van tersebut ditahan di stesen minyak itu kira-kira pukul 9.50 pagi Selasa.

Wang tersebut dibawa untuk ditambah ke dalam mesin ATM yang terdapat di stesen berkenaan sebelum kenderaan keselamatan itu dipintas oleh sebuah van Nissan dan sebuah motosikal.

Sumber mendedahkan bahawa empat lelaki turun dari van Nissan tersebut dan kemudiannya masuk ke van keselamatan dan mengikat pengawalnya.

Penunggang motosikal itu kemudiannya memandu van keselamatan ke ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata, suspek memandu van keselamatan itu ke kawasan ladang Bukit Badong.

"Kami percaya suspek memaksa semua empat pengawal keselamatan supaya keluar daripada kenderaan sebelum memunggah sembilan beg yang mengandungi wang ke dalam van mereka sendiri.

"Kumpulan itu kemudiannya membakar van tersebut sebelum melarikan diri dengan barang rampasan. Mereka juga merampas senapang pengawal itu," katanya ketika dihubungi.

Dua daripada pengawal itu melecur dan dihantar untuk rawatan, kata Taib.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain