suria

10 Pesawat Sertai Operasi Mencari MH370 Pada Ahad

Pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)ketika mendarat di Pangkalan RAAF Pearce BullsBrook Perth, selepas misi pencarian pesawat MH 370 pada Sabtu -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Operasi mencari sebuah pesawat syarikat penerbangan Malaysia yang hilang memasuki hari ke-23 hari ini, dengan fokus diberi di kawasan seluas kira-kira 319,000 kilometer persegi berpandukan hasil analisis lebih terperinci para penyiasat nahas kapal terbang.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) pada Ahad berkata mengikut perancangan, 10 pesawat akan terlibat dalam gerakan mencari di kawasan kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth. 

Lembaga itu juga berkata semua kapal di kawasan mencari ditugaskan mengesan dan mengenal pasti objek yang dikesan pesawat sejak dua hari lepas.

"Cuaca di kawasan mencari diramal menjadi lebih buruk hari ini, dengan hujan renyai dan awan rendah, tetapi operasi mencari dijangka diteruskan juga," katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 orang hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 itu berakhir di satu kawasaan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Menurut AMSA pesawat yang mengambil bahagian hari ini adalah dari Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika dan Malaysia serta sebuah jet awam yang bertindak sebagai penyelaras komunikasi.

Kapal Australia HMAS Success, kapal Pentadbiran Keselamatan Maritim China Haixun 01, kapal Biro Penyelamat China Nan Hai Jiu dan kapal tentera laut China Jinggang Shan tiba di kawasan mencari Sabtu.

"Enam lagi kapal akan tiba di kawasan itu hari ini," kata kenyataan itu.
Kapal frigat kelas ANZAC HMAS Toowoomba meninggalkan Perth petang semalam dan dijangka tiba di kawasan mencari dalam masa tiga hari.

"Kapal ADV Ocean Shield pula dijadual belayar dari Perth lewat hari ini setelah dipasang alat pengesan kotak hitam dan kenderaan bawah air," kata AMSA.

Sementara itu, ABC News melaporkan bekas ketua pasukan pertahanan Australia Angus Houston akan memainkan peranan utama untuk menyelaras usaha antarabangsa mencari pesawat berkenaan.

Bekas ketua marshal udara akan mengetuai pusat penyelarasan agensi bersama yang akan ditubuhkan di Perth bagi menyelaras usaha mencari secara besar-besaran pesawat itu, kata laporan berkenaan.

Peranan beliau adalah untuk memastikan wujudnya komunikasi yang jelas dalam kalangan semua rakan antarabangsa dan keluarga penumpang serta anak kapal terbabit, yang kebanyakan mereka dijangka pergi ke Australia ketika usaha mencari diadakan.

SAR, AMSA, MH370, HMAS Success, Haixun 01

Artikel Lain