suria

MH370: Najib Terbang Ke Perth Pada Rabu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlepas ke pusat operasi pencarian MH370 di Perth, Australia pada Rabu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kunjungan itu bertujuan bagi mengetahui perkembangan operasi SAR pesawat MH370 yang giat dijalankan di sana.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan terbang ke pangkalan tentera udara Pearce di Perth pada Rabu.

"Ia adalah lawatan kerja untuk melihat perkembangan operasi dan mengucapkan terima kasih kepada anggota yang terlibat dalam usaha carian multinasional, termasuk anggota dari Malaysia," katanya pada taklimat harian MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

Hishammuddin berkata Najib telah pun bercakap sendiri dengan rakan sejawatnya dari Australia Tony Abbott pada Isnin.

Jelasnya, Abbot telah memberitahu perkembangan terkini secara penuh kepada Najib mengenai status mencari MH370.

Sementara itu Hishammuddin berkata beliau akan terbang ke Uspacom di Hawaii Amerika Syarikat (AS) pada malam Isnin untuk menghadiri sidang Menteri Pertahanan Asean yang berlangsung dari 1 hingga 4 April.

Katanya, kunjungannya itu atas kapasiti beliau sebagai Menteri Pertahanan.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya akan berkongsi dengan rakan kerjasama Asean dan kerajaan AS tentang perkembangan carian MH370.

"Saya akan menyampaikan penghargaan kepada rakan kerjasama Asean AS terhadap bantuan multinasional yang diberikan," katanya.

Hishammuddin berkata akan menggunakan peluang ini untuk berbincang tentang kemungkinan mengerahkan aset militari yang lebih khusus untuk fasa operasi carian yang lebih sukar.




Najib Tun Razak, Perth, SAR, MH370

Artikel Lain