IPOH: Pembantu rumah Karpal Singh yang cedera parah dalam kemalangan yang mengorbankan majikannya dalam kejadian awal pagi Khamis lalu sudah sedar. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, bagaimanapun berkata, Selfiana Rengga, 26 yang berasal dari Kalembuweri, Indonesia masih tidak boleh bercakap. "Kami masih tidak dapat mengambil keterangannya kerana beliau belum dapat bercakap dan kini masih mendapat rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permasuri Bainun," katanya di sini, Isnin. Kong Soon berkata, sepasukan anggota dari Bukit Aman tiba di sini, Sabtu untuk menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian. Selain itu, katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu juga dijalankan bagi melengkapkan siasatan. "Sehingga kini, siasatan kejadian kemalangan itu masih berjalan," katanya. Selain Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, kemalangan pada awal pagi Khamis itu turut mengorbankan pembantunya, Michael Cornelius.