suria

Lelaki Cuba Langgar Polis Cedera Ditembak

Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera ditembak di kaki apabila cuba melanggar anggota polis setelah enggan menghentikan keretanya apabila diminta berbuat demikian di Bandar Baru Sungai Buloh, dekat sini, malam Rabu.

Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek berumur 27 tahun itu juga cuba mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya menyebabkan polis bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek.

Terdahulu polis yang membuat rondaan cuba menahan kenderaan suspek tersebut apabila mencurigai kehadirannya serta empat lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal di kawasan tersebut, kira-kira 8 malam.

Dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dapat ditahan manakala dua lagi suspek dapat melarikan diri.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan kereta yang dipandunya dilaporkan hilang di Saujana Utama, Sungai Buloh," katanya.

Kumpulan itu juga didapati bergiat aktif melakukan samun jalanan dan pecah kereta menggunakan senjata seperti parang dan senjata api sejak tiga bulan lepas, katanya.


Artikel Lain