SARIKEI: Pemangku presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing bersedia mengambil alih kepimpinan jika anggota parti mahu beliau berbuat demikian. "Saya tidak bercita-cita tinggi. Saya lebih suka berkhidmat kepada rakyat. "Tetapi jika anggota parti mahu saya menjadi pemimpin mereka, saya tidak boleh menolaknya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri upacara "Gawai Ngiling Bidai" (perhimpunan sempena penutupan Perayaan Gawai Dayak) di Rh. Sumbang, Sungai Rusa, Sabtu. Turut hadir ialah Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang yang juga Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak dan Anggota Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh. Tiong, bekas timbalan presiden SPDP, kini pemangku presiden parti itu selepas bekas pemimpinnya Tan Sri William Mawan keluar parti untuk menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) kira-kira dua bulan lepas berikutan krisis kemimpinan dalaman. Tiong berkata beliau tidak menganggap Teras sebagai ancaman kepada SPDP kerana tidak ramai anggota mengikuti Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, keluar dari parti. "Mereka dengan sengaja mereka-reka bilangan anggota untuk meyakinkan kepimpinan Barisan Nasional (BN). "Walaupun Mawan telah keluar dari parti, empat orang lagi wakil SPDP negeri telah meninggalkan parti itu lebih awal," katanya. Tiong berkata SPDP sekarang dalam proses menyusun dan memperkukuh semula parti itu. "Majlis Tertinggi parti akan bermesyuarat di Bintulu esok bagi menetapkan tarikh baharu bagi perhimpunan agung tiga tahun sekali untuk memilih kepimpinan baharu. "Pada mulanya kami menetapkan 4 Otk ini tetapi anggota kami yang beragama Islam walaupun minoriti, mahu kami mmpertimbangkan tarikh lain kerana hari berikutnya ialah Hari Raya Korban," kata beliau. Tiong berkata SPDP juga mahu menghapuskan mentaliti bekas pemimpin yang tidak jujur dan menikam dari belakang. "Kami harus bergerak ke hadapan. Kami mesti meneruskan kerjasama dengan semangat jujur, bersatu, harmoni dan Barisan Nasional bersama parti komponen lain," katanya. Sementara itu, Tiong mendakwa ada bekas pemimpin parti itu memaksa penduduk luar bandar menyertai Teras dengan mengancam tidak akan memberi geran pembangunan kerajaan jika mereka enggan. Menurutnya pemimpin seperti itu tidak layak menjadi pemimpin BN kerana menggunakan taktik ugutan dan membohongi rakyat dan tidak sebaliknya bertindak atas prinsip demokrasi.