suria

Sukan Bogel: Peserta Singapura Mohon Maaf, Tampil Di Balai Bantu Siasatan

GEORGE TOWN: Seorang lagi peserta acara sukan bogel tampil untuk membantu dalam siasatan selepas lima peserta lain menyerah diri.

Pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura, Albert Yam Kam Hoong menyerah diri di ibu pejabat polis daerah Balik Pulau pada petang Sabtu.

Kam Hoong, yang namanya telah dikreditkan dalam video 'Sukan Bogel Pulau Pinang 2014' sebelum ini telah menghantar surat meminta maaf kepada kerajaan negeri melalui emel.

Kandungan surat tersebut adalah seperti berikut: "Kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami ingin memohon maaf kerana mengadakan acara alam sekitar di Pulau Pinang, yang mencetuskan kekecohan di seluruh Malaysia.

"Kami akan memastikan bahawa kami tidak akan melakukannya sekali lagi dan diharapkan permohonan maaf yang tidak terhingga kerana salah laku kami yang dilakukan di Teluk Kampi, Pulau Pinang dan memalukan negara, diterima.

"Kami mempunyai sepenuh rasa hormat terhadap undang-undang di Malaysia. Yang ikhlas, Albert Yam Kam Hoong dan 'naturist'.

Ketua Polis Daerah Balik Pulau Superintendan Lai Fah Hin berkata mereka sedang berusaha untuk mendapatkan perintah reman untuk Yam dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, perintah reman telah diperolehi terhadap empat rakyat Malaysia berusia antara 24 dan 57 tahun dan seorang warga Singapura berusia 30 tahun di Mahkamah Majistret George Town, Ahad.

Mereka akan ditahan selama tiga hari sehingga 19 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, peserta acara sukan bogel boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya.

Artikel Lain