PETALING JAYA: Sebarang perbezaan pandangan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diselesaikan secara baik supaya tidak menjejaskan Umno. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada Khamis berkata, isu-isu perlu diselesaikan dalam 'semangat kekeluargaan sebenar'. "Janganlah kita mengulangi pengalaman pahit tahun 2008 apabila serangan terbuka oleh Tun terhadap Pak Lah membawa kepada prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum," katanya. Abdul Rahman berkata beliau menyokong pandangan Perdana Menteri bahawa perdebatan awam dengan Dr Mahathir adalah tidak sesuai dan tidak memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno. "Saya menyokong pendapat Perdana Menteri kerana saya percaya jika berlaku perdebatan, ia akan bertukar menjadi "situasi saya kata, kamu kata"," katanya. Beliau berkata soalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya akan diperoleh melalui siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan Audit Negara. "Fakta-fakta sebenar akhirnya akan muncul dari perbicaraan dan prosiding," kata Abdul Rahman, sambil menambah Dr Mahathir juga boleh bertanya soalan mengenai 1MDB tanpa konfrontasi. "Dia boleh sahaja bertanya dengan baik tanpa konfrontasi dan menggunakan media untuk menyindir atau lebih teruk lagi melontarkan tuduhan berdasarkan dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak ketiga yang berkepentingan dalam politik. "Saya pasti 1MDB atau mana-mana pihak yang berkaitan dengannya akan menjawab soalan-soalan dalam masa yang sewajarnya," katanya.