KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu berjaya menahan seorang lelaki memiliki dadah syabu ketika lelaki itu cuba melarikan diri semasa serbuan dijalankan di Kampung Sembulan, Jumaat. Ketua Polis Bandaraya ACP M.Chandra berkata semasa pemeriksaan dijalankan lelaki tempatan berusia 25 tahun itu menyerahkan satu beg kain kecil yang mengandungi satu paket plastik sederhana besar dan 23 paket plastik mengandungi dadah syabu. "Anggaran berat kasar dadah itu seberat 7.9 gram dan dianggarkan bernilai RM1,500," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Chandra berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan penjualan syabu dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.