PETALING JAYA: Tesco Malaysia mengarahkan semua cawangannya mempercepatkan kekerapan penyelenggaraan lif, travelators dan eskalator berikutan insiden di Rawang baru-baru ini. "Berikutan itu kami telah menjalankan penyelenggaraan pencegahan kepada semua lif, eskalator dan travelators di cawangan-cawangan kami. "Kami juga telah meningkatkan jadual penyelenggaraan berjadual daripada sebulan sekali kepada setiap minggu," kata Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat, Datuk Azlam Shah Alias. Azlam berkata demikian sebagai mengulas kejadian di mana seorang pelanggan terjatuh dengan troli membeli-belah akibat pallet travelator yang dinaikinya runtuh secara tiba-tiba pada Rabu lalu. Beliau berkata Nur Zalina, 50, yang diberikan rawatan perubatan selepas insiden itu tidak mengalami sebarang kecederaan. "Kami telah menawarkan bantuan kepada beliau (Zalina) tetapi dia masih belum menerimanya," Azlam kepada The Star melalui e-mel.