suria

Rakyat Malaysia Dipelawa Beri Nama Kepada Anak Panda

-foto ihsan Zoo Negara
PETALING JAYA: Para juri telah bersedia memilih nama untuk anak panda dan rakyat Malaysia dijemput mengemukakan idea mereka melalui pertandingan peringkat kebangsaan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Sudah tentu, kita tidak mahu menamakannya Ahmad, Ah Beng atau Phua Chu Kang," kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sambil berjenaka.

Katanya, nama yang bakal diberikan mestilah mengambil kira sensitiviti China.

Beliau berkata, setelah nama dipilih, kementerian dan Zoo Negara akan mendapatkan persetujuan dari negara itu.

Butiran pertandingan, yang akan dibuka selama dua bulan akan diumumkan melalui laman web kementerian, katanya.

Wan Junaidi berkata beliau telah melaporkan keadaan panda ke Kabinet dan rakan-rakan menteri bersetuju bahawa sudah sampai masanya anak panda itu diberi nama.

"Kita memerlukan bantuan rakyat Malaysia untuk menamakannya, sama seperti apa yang kita lakukan dengan ibunya (Liang Liang) dan bapanya (Xing Xing)," katanya.

Tambahnya, mereka masih belum membuat keputusan mengenai hadiah, namun pengumuman peraduan itu akan dibuat tidak lama lagi.

Ditanya bila anak panda itu yang yang lahir pada 18 Ogos akan pertama kali ditunjukkan kepada orang awam, Wan Junaidi berkata beliau sendiri masih tidak melihatnya kerana jadual yang ketat.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat kerana kementerian tidak mahu ia akan memberi kesan kepada pertumbuhannya.


"Selain itu, kita juga tertakluk kepada keadaan ibunya. Hanya apabila Liang Liang sanggup melepaskan anaknya itu, kita akan benarkan orang ramai melihatnya," katanya.

Wan Junaidi memberi jaminan bahawa anak panda itu akan dijaga dengan baik.

Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada Mei tahun lepas, sebagai menandakan 40 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Liang Liang telah melahirkan seekor anak panda seberat 175gm.

Laporan akhbar baru-baru ini menyatakan bahawa beratnya sekarang adalah 5kg.

Ia akan dikembalikan kepada China selepas ulang tahun kedua.

Artikel Lain