BALIK PULAU: Seorang pengawal keselamatan didakwa atas pertuduhan membunuh gadis berusia 17 tahun, Intan Suraya Mawardi di Mahkamah Majistret di sini. Tertuduh, Tarmizi Yaakob yang memakai baju-T berlengan pendek berwarna kelabu, tiba di bangunan mahkamah dan dibawa terus ke lokap kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum prosiding bermula pada pukul 10.05 pagi. Tarmizi didakwa membunuh Intan Suraya antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam di Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada 25 Oktober lalu. Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Tarmizi berdepan hukuman mati sekiranya didapati bersalah. Tiada pengakuan direkodkan. Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan kes sementara menunggu laporan DNA.