KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang wanita dipercayai memakai pakaian menjolok mata dalam sebuah persembahan 'buskers', di salah sebuah pusat beli-belah di sini, Sabtu lepas. Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata wanita itu melakukan aksi melampau dengan membuat persembahan dalam keadaan payudaranya terdedah. Katanya persembahan selama empat minit itu dirakam sebahagian penonton semasa menyaksikan persembahan itu. "Semasa aktiviti 'busking' berlangsung, ada tiga wanita. Seorang daripadanya memakai pakaian menjolok mata mengambil mikrofon daripada kumpulan 'buskers' tersebut sebelum menyanyi. "Siasatan lanjut mendapati wanita itu bukan anggota kumpulan 'buskers' yang dibenarkan membuat persembahan di situ, tetapi salah seorang pengunjung pusat beli-belah itu yang mengambil peluang untuk menyanyi bersama-sama kumpulan itu," katanya dalam kenyataan, Khamis. Justeru, Chandra meminta saksi kejadian Rayndi Jubidi, 24, untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis daerah Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohanandas di talian 016-4414939. Akhbar tempatan hari ini memaparkan aksi wanita itu mengadakan persembahan nyanyian bersama kumpulan 'buskers' dengan menggunakan pakaian yang menjolok mata. Dalam kenyataan berasingan, pihak pengurusan Suria Sabah kesal atas kejadian itu yang secara tidak langsung mempamerkan imej negatif terhadap kompleks beli-belah itu, kumpulan persembahan itu serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. "Tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengelakkan kejadian kurang sopan seperti itu mengganggu ketenteraman awam dan suasana di Suria Sabah. "Kami memohon maaf atas kejadian ini dan akan melakukan yang terbaik bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang," menurut kenyataan itu.