KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia melibatkan diri dalam kumpulan pengganas. Hakim Datuk Mohd Shariff Abu Samah memerintahkan tertuduh Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 32, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Jun 2014. Mohd Shariff berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah menjijikkan kerana masyarakat tempatan dan dunia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu. "Sebagai pesalah muda dan kesalahan pertamanya, tertuduh mesti muhasabah diri dan reda, hukuman yang panjang tidak bawa kebaikan kepada tertuduh dan orang awam. Tempoh penjara yang singkat membolehkan tertuduh mempelajari dan mendalami ilmu agama apabila dibebaskan kelak," katanya. Muamar Gadaffi didakwa memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas dengan niat untuk memajukan ideologi dan perbuatan itu boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bukit Ara Para, Kampung Ketior Dalam, Mukim Senggang, Kuala Kangsar antara 2 petang hingga 4 petang pada 25 Disember hingga 27 Disember 2014, mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, pada 16 Mei 2012, tertuduh telah membuka satu akaun laman sesawang facebook dengan nama "Iskandar Dzulquranain IS' untuk menyebarkan fahaman militan IS kepada rakan-rakannya di laman sosial. Pada 25 Disember 2013, dan 27 Disember 2013, tertuduh telah menerapkan ideologi militannya kepada beberapa rakannya, iaitu perlu mengangkat senjata bagi tujuan berjuang dan membantu orang Islam yang tertindas di Syria, selain turut memberi latihan ketenteraan kepada rakan-rakannya dengan menggunakan senapang buatan sendiri. Tertuduh kemudian ditangkap kerana terlibat dengan kesalahan keselamatan pada 13 Jun 2014, pukul 6.42 pagi di Lot B1414, Lorong 57 Blok 149 Jalan Utara, Taman Indah Jaya, Sandakan, Sabah. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Robert Pasang Alam memohon hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bersifat pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat awam yang mempunyai niat untuk menyertai kumpulan pengganas IS atau Daesh. "Tertuduh telah melakukan kesalahan yang amat berat yang diertikan sebagai kesalahan keselamatan, kerajaan Malaysia memandang berat individu yang terlibat dalam pergerakan militan," katanya. Peguam Mohd Amirul Ramli berkata, ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan tempoh reman yang panjang iaitu setahun lapan bulan telah memberi pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh. "Tertuduh telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia lima dan dua tahun, dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000. Tertuduh juga menyara ibu bapanya dan harapan tertuduh adalah untuk pulang ke pangkuan keluarga dan memulakan kehidupan baharu," katanya. - BERNAMA