KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memberikan RM250 kepada pelajar dalam bentuk Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). Pelajar-pelajar kemudian membawa dan menyerahkan baucar tersebut ke kedai-kedai buku dan menerima antara RM190 dan RM230 dalam bentuk wang tunai. Kemudian, kedai-kedai buku berkenaan melaporkan bahawa mereka telah menjual buku bernilai RM250 dan menuntut wang tersebut daripada kerajaan. Walau bagaimanapun, buku-buku yang disenaraikan itu sebenarnya adalah buku-buku lama yang tidak mampu dijual oleh mereka. Dengan pendaftaran untuk mendapatkan semula tunai RM250 telah dibuat, kedai-kedai buku berkenaan kemudian mengambil buku-buku yang tidak diingini itu dan meletakkannya di kedai-kedai buku terpakai yang dijual pada harga murah, sekali gus membuat keuntungan dua kali ganda daripada buku-buku mereka yang pada asalnya tidak terjual itu. Mereka akan mendapat antara RM60 dan RM20 keuntungan daripada baucar yang ditebus dan wang dari kedai-kedai buku terpakai. Ia adalah satu penipuan yang membuatkan kedai-kedai buku mendapat keuntungan berganda. Dalam beberapa kes, mereka didapati menggunakan ejen, biasanya pelajar kolej, bagi mendapatkan lebih ramai rakan pelajar menyertai penipuan tersebut. Ejen-ejen pastinya mendapat habuan. "Buku-buku mereka sebenarnya tidak dijual kepada pelajar," kata seorang pelajar kolej berusia 22 tahun yang pernah menjadi ejen. Pelajar itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Warren berkata buku-buku itu akan dibeli di bawah nama mereka yang telah menjual baucar buku miliknya. "Sebagai contoh, baucar buku itu adalah di bawah nama anda. "Ini bermakna ejen akan menggunakan baucar itu untuk 'membeli' buku-buku yang sebenarnya masih dalam stok mereka semata-mata untuk menghabiskan stok," jelas Warren. "Kedai-kedai buku perlu menghabiskan stok lama buku-buku atau majalah. Jika tidak, mereka membazirkan ruang." Dia mendakwa, selepas stok simpanan lama telah 'dijual' dengan menggunakan baucar yang ada, kedai-kedai buku kemudian akan menjual semula buku-buku tersebut dengan meletakkan harganya sebagai buku terpakai. "Aktiviti seperti ini agak sukar untuk dikesan oleh kerajaan yang tidak akan memeriksa stok sebelum dan selepas musim BB1M," katanya. Ejen-ejen ini juga akan memasukkan iklan di laman media sosial menyatakan mereka berminat untuk membeli baucar buku pelajar. Satu set baucar bernilai RM250 dan ejen akan menawarkan harga bergantung kepada bilangan set untuk dijual. "Ejen-ejen akan membayar lebih sedikit jika anda memberikan banyak set baucar, sekitar 10 atau lebih. "Mereka melakukan ini supaya pelajar yang ingin menjual baucar menggalakkan rakan-rakan lain turut sama menjual baucar mereka, manakala ejen itu dibayar komisen bagi jumlah baucar yang berjaya dibeli," kata Warren. Menjual baucar buku juga agak mudah. Apa yang perlu dilakukan penjual berpotensi ialah mencari 'posting' tawaran pembelian di laman media sosial dan menghubungi pembeli (ejen) dengan 'mesej peribadi'. Ejen itu kemudian akan menghubungi penjual berpotensi untuk persetujuan jual-beli. Ketika bertemu dengan 'penjual baucar', ejen akan mengesahkan baucar tersebut sebelum membayar wang tunai. Penjualan baucar itu tidak terhad di Kuala Lumpur sahaja, memandangkan dua pelajar dari sebuah universiti swasta di Perak mengesahkan bahawa situasi itu juga berlaku di negeri itu. Pelajar-pelajar di sebuah universiti awam di Selangor juga mengaku menjual baucar mereka. Warren berkata dia tidak terkejut, sambil menambah penjualan baucar buku berlaku di semua negeri, walaupun ia menyalahi undang-undang. Dilaksanakan oleh kerajaan pada Bajet 2012, BB1M adalah bantuan buku untuk pelajar yang berada dalam Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi. Menurut Garis Panduan BB1M 2016 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, baucar tidak boleh dipindah milik, tidak boleh ditukar kepada wang tunai atau dijual kepada pihak ketiga.