KOTA BARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan melancarkan Ops Raya bagi mengawal kemasukan kira-kira tiga juta kenderaan ke negeri ini bermula Rabu hingga 13 Julai ini. Pengarahnya Mahasan Mustapa berkata sebanyak 264 anggota akan melakukan rondaan 24 jam secara bergilir di jalan raya utama di seluruh negeri ini. "Matlamat kami mengelak kemalangan semasa pergerakan tiga juta kenderaan memasuki negeri ini ketika rakyat Kelantan di perantauan pulang berhari raya di kampung halaman mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di sini, malam Isnin. Mahasan berkata sempena Ops Raya, JPJ Kelantan juga mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha bas ekspres di negeri ini bagi menggalakkan pemanduan yang selamat. "Kami berjumpa mereka (pengusaha bas) bagi memaklumkan operasi yang bakal dilaksanakan supaya mereka mengambil perhatian dan memberikan kerjasama kepada kami," katanya. Mahasan berkata pihaknya akan melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres termasuk dari aspek teknikal dan pemandu. "Anggota JPJ juga akan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan sebarang salah laku pemandu," katanya sambil berkataJPJ turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis dalam melaksanakan operasi itu. Mengenai pemasangan kamera Automated Enforcement System (AES) di Kelantan, beliau berkata setakat ini, kamera itu belum dipasang cuma pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan berisiko terbabit kemalangan. - BERNAMA