suria

Polis Buru Suspek, Ganja Bernilai RM360,000 Dirampas

Ganja ditemui dalam keadaan berselerak di lokasi kemalangan. - foto G.C.TAN/THE STAR

ARAU: Polis merampas 150 keping ketulan ganja mampat dengan berat keseluruhan 150 kilogram bernilai RM360,000, susulan daripada kemalangan sebuah pikap lewat petang Jumaat di Jalan Cikgu Ali, Kampung Rambai di sini.

Ketua Polis Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar di Perlis dalam tahun ini dan dadah tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran, bagaimanapun polis sedang giat memburu suspek yang berjaya meloloskan diri selepas kemalangan itu.

"Polis menerima maklumat dari orang awam awal pagi tadi tentang kemalangan tersebut, kemudian anggota bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan telah menjumpai banyak ketulan ganja mampat berselerak di luar dan dalam kenderaan tersebut pada 7.30 pagi Sabtu.

Polis percaya kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu bergerak dari Beseri menghala ke Ulu Pauh melalui Lebuhraya Kuala Perlis-Changloon telah tergelincir sebelum terbabas dan terbalik di tebing tepi jalan itu," katanya dalam satu sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Arau di sini petang Sabtu.

Polis akan bekerjasama dengan semua unit polis bagi menjejak suspek yang masih tidak diketahui identitinya itu secepat mungkin, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, menurut Nanda.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, Nanda berkata, seorang penuntut berumur 21 tahun yang merupakan pelajar tahun akhir peringkat diploma di sebuah universiti awam di sini, telah ditangkap bersabit dengan empat kes ragut di daerah itu sejak awal bulan lepas.

Menurut Nanda kerugian daripada semua aktiviti dilakukan pelajar terbabit dianggarkan  sebanyak RM6,000.

"Pelajar lelaki itu ditahan di asrama universiti pada 3.30 pagi ini (Sabtu), dia akan direman sehingga 5 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Nanda berkata, modus operandi diguna pakai suspek yang berasal dari Kedah itu adalah dengan mengekori mangsa-mangsanya, terutama wanita yang menunggang motosikal pada waktu malam sekitar 9.30 hingga 12 tengah malam.

"Sebaik tiba di laluan dan jalan gelap, suspek yang menunggang Honda EX5 itu akan memadamkan lampu depan motosikal seterusnya mendekati mangsa dari belakang tanpa diketahui mangsa sebelum meragut beg tangan atau barang kepunyaan mangsa yang  diletakkan di bahagian depan bakul motosikal," jelasnya.

Berdasarkan maklumat diperolehi suspek tidak memiliki sebarang sabitan terdahulu serta telah merancang untuk pulang ke kampung merayakan Aidilfitri pada hari dia ditahan. - Bernama

pikap, ganja, Arau

Artikel Berikut

Artikel Lain