PUTRAJAYA: Seluruh Negeri Pulau Pinang tidak seharusnya diheret ke dalam pilihan raya tergempar kerana krisis peribadi seseorang, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, langkah itu tidak perlu kerana Pulau Pinang tidak berhadapan sebarang krisis politik atau perlembagaan.
"Hanya ada krisis peribadi yang melibatkan Ketua Menteri. Tetapi anda tidak perlu mengheret seluruh negeri untuk menghadapi pilihan raya tergempar hanya kerana anda mempunyai masalah peribadi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.
Menteri Belia dan Sukan berkata, langkah itu hanya akan menjadi satu pembaziran sumber kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Tidak ada sebab untuk memanggil bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri. Kita secara tradisinya mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen bersama-sama, kecuali di Sabah dan Sarawak," katanya.
Selain itu beliau turut menyatakan bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali juga tidak yakin tentang idea panggil pilihan raya awal di negeri ini.
"Saya percaya ini adalah hanya satu langkah untuk menyelesaikan krisis peribadi Guan Eng," katanya.