suria

Mayat Tidak Sempurna Ditemui

Gambar hiasan.

KOTA SAMARAHAN: Mayat yang tidak sempurna seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada 12 September lepas, ditemukan pagi ini oleh orang awam yang memancing di kawasan Jambatan Kampung Baru di sini.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, penemuan sebahagian anggota iaitu dari bahagian punggung ke hujung kaki itu disahkan adalah mangsa bernama Sylvester Kilat Anak Lee, 19, berketurunan Iban.

Perkara itu disahkan oleh bapa mangsa melalui pengecaman seluar jean yang dipakai mangsa ketika dia dilaporkan hilang, dipercayai jatuh ke dalam sungai di Pangkalan Feri Muara Tuang pada 12 September lalu.

"Mangsa ditemukan pada 10.40 pagi ini. Anggaran jarak lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan jarak lokasi penemuan mayat adalah dua kilometer," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang tidak sempurna itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Farhan berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih meneruskan gerakan mencari bahagian tubuh mangsa yang lain, dikhuatiri sudah menjadi makanan buaya di dalam sungai berkenaan.

Katanya, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dengan logistik bot penyelamat dan FRT Scania turut membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat mangsa. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

FGV Serah Zakat RM3.27 Juta

Artikel Lain