suria

Polis Tahan Lima Individu Video Viral Pati Indonesia Mudah Masuk Ke Tawau

- Gambar hiasan
TAWAU: Lima individu termasuk seorang saksi ditahan bagi membantu siasatan berhubung video warga Indonesia dikatakan mudah memasuki daerah ini dengan hanya membayar RM50 hingga RM100 kepada anggota penguat kuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu termasuk tiga wanita yang kesemuanya bekerja sebagai buruh ladang ditahan di sebuah rumah dalam kebun kelapa sawit Anderasy, Batu 17 dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang Khamis.

"Ketika ditahan, semuanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Siasatan lanjut turut mendapati seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditahan adalah saksi yang dikenal pasti berada di bot dalam video viral pendedahan wartawan Indonesia berhubung kemasukan mudah rakyat Indonesia ke Tawau," katanya di sini.

Fadil berkata, pihaknya akan merakamkan keterangan saksi terbabit bagi membantu siasatan lanjut.

Pada Rabu, Fadil berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa individu termasuk anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan sogokan bagi memudahkan kemasukan PATI seperti dilaporkan program televisyen TransMedia di Indonesia.

Menurut Fadil, pihaknya tidak berkompromi terhadap apa juga pelanggaran integriti atau salah laku membabitkan mana-mana anggotanya.
Pati, video viral, Fadil Marsus

Artikel Sebelum

Artikel Lain