SERDANG: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar jalinan ukhuwah dan permuafakatan antara ulama dan umarak terus diperteguhkan demi mencapai kemaslahatan ummah dan negara. Titah Tuanku Abdul Halim, baginda amat menghargai peranan para ulama dan umarak yang telah melaksanakan segala tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas dan amanah. "Beta yakin, apabila muafakat dan jalinan ukhuwah kedua-dua golongan ini terlaksana dengan baik, maka akan baiklah juga jalinan ukuwah serta permuafakatan dalam kalangan rakyat jelata seluruhnya," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini Ahad. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat pada majlis yang bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah'. Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Sebanyak 105 kontinjen dengan kira-kira 10,000 peserta menyertai perarakan bersempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H. Tuanku Abdul Halim seterusnya menyaran umat Islam di negara ini berusaha mengukuhkan permuafakatan serta memantapkan jalinan ukhuwah Islamiah untuk menghindari daripada perpecahan disebabkan perbezaan yang berlaku. "Ingatlah kita bahawa segala usaha ke arah meningkatkan kemajuan sosioekonomi ummah, memperkasakan urus tadbir hal ehwal Islam serta memartabatkan Institusi Perundangan dan Kehakiman Syariah tentunya tidak akan berjaya jika umat Islam terus bertelagah dan berpecah," titah Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim bertitah umat Islam seharusnya memiliki kebijaksanaan untuk mengurus perbezaan dengan cara terbaik dengan memberi keutamaan kepada agenda penyatuan ummah dan menjauhi segala bentuk perbalahan sesama sendiri. "Semua pihak hendaklah mengamalkan adab yang tinggi, sentiasa berlapang dada dan bertoleransi, saling hormat menghormati serta mengasihi antara satu sama lain," titah baginda. Tuanku Abdul Halim mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta manhaj wasatiyyah yang dianjurkan Islam bagi mengelak terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dibawa golongan yang sesat. Seri Paduka berharap agar agensi-agensi Islam di peringkat persekutuan dan negeri terus komited terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing demi merealisasikan hasrat menjadikan negara ini 'baldatun toyyibatun warabbun ghafur' (negara yang sentosa, adil dan makmur di bawah lindungan Tuhan yang maha pengampun). Tuanku Abdul Halim bertitah agama Islam tidak pernah menolak atau menafikan segala perbezaan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Baginda bertitah dalam kalangan umat Islam sendiri, perbezaan pandangan dalam perkara cabang atau masalah ijtihadiyyah adalah dibenarkan. "Antara contoh yang diambil ialah perbezaan pendapat dalam kalangan para sahabat Nabi mengenai bentuk hukuman kepada para tawanan Badar sehingga Allah menurunkan wahyu-Nya berkenaan perkara tersebut. "Apa yang dilarang adalah perbezaan pendapat dalam perkara pokok iaitu usul yang boleh membawa kepada pepecahan sesama umat Islam," titah Seri Paduka. Pada majlis itu, Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Anugerah Khas Maal Hijrah, yang diterima oleh anak sulung beliau, Dr Huda Haron, manakala bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan. Terdahulu pada majlis sama, Najib dan Ahmad Zahid menyaksikan penyerahan surau bergerak sumbangan Bank Rakyat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. - BERNAMA